
PUTRAJAYA, 9 April – Penyebaran maklumat tidak tepat mengenai kenaikan harga minyak akibat konflik Asia Barat boleh mengelirukan rakyat selain tidak membantu kerajaan menangani isu tersebut.
- Ada pihak menjadikan isu sebagai naratif demi kepentingan peribadi.
- Komen tergesa-gesa menjadi separuh kebenaran dipersembah seolah-olah pasti.
- Hak bersuara harus disokong penilaian sahih dan bukti sebelum berdebat.
- Kerajaan bertindak berdasarkan maklumat tepat, diplomasi kukuh dan pendekatan proaktif berasaskan fakta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas perkara itu susulan terdapat kecenderungan pihak tertentu yang menjadikan ia sebagai naratif demi mencapai kepentingan peribadi.
“Beberapa komen daripada ahli politik ini agak tergesa-gesa berkenaan perkara ini dan ia adalah ‘half-truths turned absolutes’. Maksudnya, fahaman yang hanya sebahagiannya benar itu kemudian dipersembahkan seolah-olah ia adalah sesuatu yang pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pengangkutan di Dewan Sentral RAC di sini hari ini.
Perdana Menteri berpandangan setiap individu berhak menyuarakan pendapat namun ia perlu disokong dengan penilaian sahih berkenaan perkara perdebatan.
Kecenderungan sesetengah pihak yang menyandarkan hujah berlandaskan agama hingga memutar belit fakta boleh membawa salah tanggapan dalam kalangan masyarakat
“Ini menunjukkan kedangkalan ilmu yang ketara, namun diselubungi fahaman agama dan al-Quran sehingga menimbulkan kepercayaan dalam kalangan orang ramai. Malah, ia bukan sahaja tidak membantu, malah boleh mengelirukan,” katanya lagi.
Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa kerajaan sentiasa bertindak berdasarkan maklumat tepat dan diplomasi antarabangsa yang kukuh bagi memastikan kelangsungan bekalan minyak dan kestabilan harga di negara ini meskipun berdepan cabaran konflik global.
Pendekatan berasaskan fakta dan tindakan proaktif, kerajaan yakin rakyat dapat memahami isu sebenar tanpa terpengaruh dengan maklumat separa benar yang tersebar.