Mega Halal Bangkok 2026 buka peluang syarikat Malaysia tembusi pasaran global


Lebih 200 pempamer dari lebih 10 negara dan wilayah dijangka menyertai pameran berkenaan antaranya Thailand, Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, China dan Taiwan.

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Syarikat Malaysia, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berpeluang memperluas pasaran halal antarabangsa menerusi pameran MEGA HALAL Bangkok 2026 edisi kedua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Syarikat Malaysia terutama PKS berpeluang memperluas pasaran halal antarabangsa melalui penyertaan MEGA HALAL Bangkok 2026.
  • Pameran berlangsung 15-17 Julai 2026 di Bangkok, Thailand, menghimpunkan pemain industri, pembeli dan pengedar serantau.
  • Peruncit utama Asia seperti Big C, Lotus’s dan Indomaret sah sebagai pembeli perdagangan membuka peluang kerjasama pengedaran langsung.
  • Segmen pameran merangkumi makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim, gaya hidup dan teknologi halal; pendaftaran masih dibuka.

Penganjur, Comasia Limited dalam kenyataannya memaklumkan, pameran yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Julai 2026 di Bangkok, Thailand itu bakal menghimpunkan pemain industri, pembeli serta pengedar dari rantau ASEAN dan pasaran global.

“Beberapa syarikat peruncitan utama Asia, termasuk Big C dan Lotus’s dari Thailand serta Indomaret dari Indonesia, telah mengesahkan penyertaan sebagai pembeli perdagangan.

“Penyertaan mereka membuka peluang kepada pempamer untuk menjalin kerjasama komersial secara langsung dengan rangkaian pengedaran utama di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Lebih 200 pempamer dari lebih 10 negara dan wilayah dijangka menyertai pameran berkenaan antaranya Thailand, Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, China dan Taiwan.

Pameran itu meliputi segmen makanan dan minuman, kosmetik, penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan, farmaseutikal, fesyen Muslim, gaya hidup serta teknologi halal.

“Syarikat Malaysia, khususnya pengeluar makanan, kosmetik, farmaseutikal, fesyen Muslim dan produk gaya hidup halal, digalakkan menyertai pameran itu bagi memperluas jaringan perniagaan serta menembusi pasaran halal ASEAN dan dunia.

“Pendaftaran masih dibuka menerusi laman sesawang rasmi MEGA HALAL Bangkok 2026,” jelas kenyataan itu.

MEGA HALAL Bangkok 2026 dianjurkan dengan kerjasama SHAPERS, pengasas MIHAS dan HALFEST Malaysia, Institut Makanan Thailand (NFI) serta Persatuan Perdagangan Muslim Thai (TMTA).

Pameran itu berlangsung serentak dengan MEGA SHOW Bangkok bagi meningkatkan kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa dan memperkukuh kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama di ASEAN.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.