
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Pelaksanaan syarat baharu bagi import kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) berpotensi memperkukuh pembangunan industri automotif tempatan menerusi peningkatan pelaburan, pemindahan teknologi serta pembangunan vendor tempatan.
- Kejayaan dasar bergantung pada kemampuan industri tempatan hasilkan EV CKD dengan komponen berkualiti memenuhi kehendak pengguna.
- Dalam jangka sederhana hingga panjang, dasar dijangka menarik pelaburan dan merangsang pembangunan industri automotif tempatan.
- Peningkatan pemasangan, pengeluaran komponen dan penyelidikan boleh cipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan perkasakan TVET.
- MITI kenakan syarat import bermula 1 Julai 2026: CIF min RM200,000 dan kuasa motor min 180 kW.
Pensyarah Kanan Teknologi Penyelenggaraan Automotif, UniKL Malaysian France Institute (UniKL MFI), Haidee Che Rizmin berkata, pelaksanaan syarat berkenaan membuka peluang kepada industri automotif negara untuk terus berkembang, khususnya dari aspek teknologi dan pembangunan tenaga kerja mahir.
“Dengan pelaksanaan dasar ini, industri automotif di negara kita berpeluang untuk berkembang dari segi teknologi melalui pemindahan teknologi serta pembangunan vendor-vendor tempatan, di samping meningkatkan kemahiran tenaga kerja di negara kita,” katanya kepada RTM.
Bagaimanapun, kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada keupayaan industri tempatan menawarkan kenderaan elektrik pemasangan tempatan (CKD), khususnya dari segi komponen yang berkualiti serta memenuhi keperluan pengguna.
Untuk jangka masa sederhana hingga panjang, perubahan dasar tersebut dijangka memberi impak positif kepada pelaburan dan pembangunan industri automotif tempatan.
Peningkatan aktiviti pemasangan, pengeluaran komponen serta penyelidikan berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selaras dengan agenda memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Jika dasar ini berkembang seperti yang dirancang, pasaran kenderaan EV akan menjadi lebih kompetitif, dengan pengguna menikmati lebih banyak pilihan pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.
Pada Mei lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa bermula 1 Julai 2026, semua import EV secara pemasangan siap sepenuhnya tertakluk kepada dua syarat utama, iaitu nilai Kos, Insurans and Tambang (CIF) minimum RM200,000 serta kuasa motor minimum 180 kilowatt (kW).
Langkah tersebut dilaksanakan susulan penamatan tempoh pengecualian khas pengimportan EV CBU di bawah Permit Import (AP) Francais pada 31 Disember 2025.