
KUALA LUMPUR, 4 Julai- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka kertas rundingan bagi mendapatkan maklum balas awam terhadap cadangan memperkukuh ekosistem tadbir urus korporat negara termasuk aspek pengawasan syarikat tersenarai dan penggunaan teknologi dalam pengurusan lembaga pengarah.
- Empat cadangan utama meningkatkan kebertanggungjawaban pengawal tadbir urus, memperbaiki amalan tadbir urus dan ketelusan PLC, serta memperkasakan pemegang saham.
- Memperkukuh pengawasan setiausaha syarikat dengan keperluan baru bagi menaikkan profesionalisme dan keberkesanan sokongan kepada lembaga pengarah.
- Mengukuhkan pengawasan lembaga terhadap penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan serta keperluan pendedahan tadbir urus teknologi.
SC dalam kenyataan memaklumkan cadangan itu merupakan susulan kepada bidang dikenal pasti menerusi Kertas Perbincangan mengenai Rangka Kerja Tadbir Urus Korporat yang diterbitkan pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, kertas rundingan berkenaan mengandungi empat cadangan utama bagi meningkatkan kebertanggungjawaban pengawal tadbir urus, menambah baik amalan tadbir urus serta ketelusan syarikat awam tersenarai (PLC), selain memperkasa peranan pemegang saham.
“Antara cadangan dikemukakan termasuk memperkukuh pengawasan terhadap setiausaha syarikat menerusi keperluan baharu bagi meningkatkan profesionalisme dan keberkesanan mereka dalam menyokong lembaga pengarah,” menurut kenyataan itu.
Suruhanjaya itu turut mencadangkan penambahbaikan amalan tadbir urus bagi syarikat pemilikan tertumpu termasuk syarikat milik keluarga.
Selain itu, SC mempelawa pandangan orang ramai mengenai cadangan memperkukuh pengawasan lembaga pengarah terhadap penggunaan teknologi, termasuk keperluan pendedahan berkaitan penggunaan serta tadbir urus teknologi dan kecerdasan buatan.
Menurut SC, cadangan berkenaan selari dengan Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang menekankan disiplin pasaran sebagai pemacu kepada ekosistem tadbir urus korporat lebih kukuh.