Malaysia berpotensi tingkat nilai tambah sektor aeroangkasa

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Malaysia berpotensi meningkatkan nilai tambah sektor aeroangkasa kepada ekonomi negara menerusi pengembangan aktiviti berteknologi tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perluas peranan sektor dari MRO kepada R&D dan pembangunan teknologi termasuk AI.
  • Kurangkan kebergantungan kepada OEM luar negara dan bina keupayaan Malaysia sebagai pengeluar dan pencipta teknologi bernilai tinggi.
  • Perkukuh R&D melalui kerjasama TUDM, universiti dan industri bagi memacu inovasi, penciptaan teknologi dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Ketua Flait NDT, Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace TUDM (PUSPEKA), Mejar Ir. Ts. Dr. Arvinthan Venugopal berkata, ia termasuk usaha memperluas keupayaan sektor daripada penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembangunan teknologi sendiri termasuk berasaskan kecerdasan buatan, AI.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar peralatan asal (OEM) luar negara, malah membina keupayaan Malaysia sebagai pengeluar dan pencipta teknologi aeroangkasa bernilai tinggi.

“Inovasi bukan sahaja dapat mengurangkan masa dan kos, malah membolehkan kita membangunkan teknologi baharu. Kita bukan lagi sekadar membeli atau menjadi pengguna teknologi, tetapi menjadi pencipta teknologi dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi Malaysia,” katanya selepas Biz Malaysia.

Tambahnya, pembangunan R&D tempatan boleh diperkukuh menerusi kerjasama antara TUDM, universiti dan pemain industri bagi mencari penyelesaian kepada keperluan sebenar sektor aeroangkasa.

Pendekatan itu membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembangunan teknologi dilaksanakan menggunakan kepakaran tempatan, sekali gus merancakkan pertumbuhan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Dalam jangka panjang, keupayaan tersebut boleh membuka ruang kepada Malaysia untuk bukan sahaja membangunkan teknologi sendiri, malah menghasilkan komponen aeroangkasa yang lebih kompleks, bernilai tinggi dan pada skala lebih besar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.