
KOTA KINABALU, 4 Oktober – Seorang lelaki disahkan maut selepas pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum melanggar pokok di Jalan Tuaran Bypass, berhampiran sebuah kedai perabot, awal pagi tadi.
- Mangsa, lelaki 44 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi pada 1.31 pagi oleh pegawai perubatan yang hadir.
- Kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
- Mangsa tersepit; lima anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat mengeluarkan mangsa; operasi tamat pada 2.05 pagi.
- Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.39 tengah malam itu, mangsa berusia 44 tahun, meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa memandu sebuah pacuan empat roda secara bersendirian dari arah Tebobon menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar sebatang pokok.
“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 1.31 pagi oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, operasi mengeluarkan mangsa tersepit membabitkan lima anggota.
“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat dan operasi ditamatkan pada jam 2.05 pagi selepas pemeriksaan akhir dilakukan di lokasi,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.