
IPOH, 4 Oktober – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dengan kerjasama Cawangan Risik Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta menggagalkan cubaan memindahkan 63 ekor lembu tanpa kebenaran dari Kelantan ke Lembah Klang melalui laluan Cameron Highlands.
- Operasi hasil risikan hampir seminggu, kenderaan disyaki membawa ternakan ditahan di Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira jam 1 hingga 2 pagi.
- Pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan dokumen kebenaran; bahagian belakang kenderaan ditutup kanvas untuk menyembunyikan ternakan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953; jika sabit, denda sehingga RM15,000 atau hukuman mengikut akta.
Timbalan Pengarah JPV Perak, Dr Rohaiza Yahaya berkata, operasi bersepadu itu dijalankan hasil risikan hampir seminggu sebelum pasukan penguat kuasa mengesan dan menahan sebuah kenderaan yang dipercayai membawa ternakan berkenaan.
Katanya, kenderaan itu ditahan kira-kira jam 1 hingga 2 pagi tadi di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dari arah Simpang Pulai ke Bidor, menghala ke selatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bagi pemindahan ternakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan bahagian belakang kenderaan turut ditutup menggunakan kanvas, dipercayai bagi mengaburi pandangan pihak berkuasa dan mengelakkan kegiatan itu dikesan.
Katanya, tindakan pantas pasukan penguat kuasa berjaya mengesan dan menahan kenderaan berkenaan sebelum ternakan dibawa ke destinasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 [Akta 647].
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM15,000 atau dikenakan hukuman seperti diperuntukkan di bawah akta berkenaan.