FMM cadang 7 ciri GST diterap dalam SST, kurangkan tekanan kos perniagaan

Foto hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 20 OgosPersekutuan Perkilangan Malaysia (FFM) mencadangkan supaya kajian penerapan ciri-ciri terpilih Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) mengambil kira aspek mekanisme kredit cukai input.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mekanisme kredit cukai input perlu dibenarkan untuk cukai jualan dan perkhidmatan yang ditanggung pada input bagi mengurangkan cukai bertingkat.
  • Kadar sifar, kredit, rebat atau bayaran balik bagi cukai hulu digalakkan supaya barangan keperluan kekal bebas cukai sepanjang rantaian bekalan.
  • Prinsip neutraliti untuk eksport; cukai layak dalam pengeluaran dan penghantaran eksport mesti boleh dikredit, direbat atau dibayar balik.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, kredit cukai input perlu diberi perhatian kerana ia merupakan antara ciri utama GST ke dalam sistem SST bagi mengurangkan kesan cukai bertingkat dan tekanan kos dalam rantaian bekalan.

“Langkah ini penting bagi memastikan cukai yang dikenakan ke atas input perniagaan tidak terus menjadi kos tambahan dalam rantaian bekalan, yang akhirnya boleh meningkatkan kos pengeluaran.

“Sebarang mekanisme baharu yang diperkenalkan juga mestilah mudah, telus dan tidak meningkatkan kos pematuhan kepada perniagaan, di samping membantu mengekalkan daya saing industri serta eksport Malaysia,” katanya kepada pemberita RTM.

FMM juga mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang layak serta ditanggung ke atas input perniagaan dibenarkan sebagai kredit atau diimbangi dengan liabiliti cukai.

Menurut beliau, langkah itu wajar meliputi kos input seperti bahan mentah, mesin, logistik dan penghantaran, sewaan kilang, pembinaan kemudahan pengeluaran, pembiayaan serta perkhidmatan perniagaan lain yang layak.

Selain itu, pihaknya turut mencadangkan mekanisme kadar sifar seperti GST, kredit, rebat atau bayaran balik yang setara bagi cukai hulu yang layak dan berkait secara langsung dengan pengeluaran serta pengedaran barangan keperluan.

“Langkah ini akan memastikan matlamat dasar untuk mengekalkan barangan keperluan asas bebas cukai dicapai di sepanjang keseluruhan rantaian bekalan dan bukan hanya pada peringkat jualan akhir,” katanya lagi.

Dalam masa sama, FMM menggesa supaya prinsip neutraliti cukai diterapkan terhadap eksport bagi memastikan barangan Malaysia yang dihantar ke luar negara tidak menanggung cukai penggunaan domestik yang terkumpul dalam kos produk.

“Barangan eksport Malaysia tidak seharusnya menanggung cukai penggunaan domestik yang terkumpul dalam kos produk. Oleh itu, cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang layak serta ditanggung dalam proses pengeluaran dan penghantaran barangan eksport hendaklah boleh dikreditkan, direbat atau dibayar balik,” katanya lagi.

FMM juga mencadangkan kerajaan untuk menggantikan pelbagai pengecualian dan pelepasan khusus mengikut kategori dengan mekanisme kredit atau rebat yang lebih sistematik.

Langkah itu, menurutnya, dapat mengurangkan kesan cukai ke atas cukai serta memastikan layanan percukaian yang lebih konsisten merentasi pelbagai model perniagaan dan rantaian bekalan.

“Rangka kerja SST ketika ini bergantung kepada pelbagai pengecualian dan pelepasan yang berbeza mengikut jenis barangan, perkhidmatan, transaksi serta syarat kelayakan.

“Walaupun langkah tersebut memberikan pelepasan dalam keadaan tertentu, ia tidak menangani isu cukai bertingkat secara konsisten di seluruh rantaian bekalan perniagaan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, katanya kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme bayaran balik yang boleh dipercayai, automatik dan mempunyai tempoh yang ditetapkan dengan jelas.

Jelas beliau, sebarang pelaksanaan mekanisme kredit baharu perlu disokong dengan tempoh bayaran balik yang jelas dan boleh dikuatkuasakan, prosedur pengesahan yang mudah serta kawalan audit berasaskan risiko.

Beliau turut mencadangkan infrastruktur e-Invois dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengesahkan transaksi perniagaan secara digital, sekali gus meningkatkan ketelusan transaksi dan memperkukuh kawalan terhadap penipuan.

Menurutnya, usaha itu dapat menyokong mekanisme kredit dan bayaran balik yang lebih cekap tanpa meningkatkan beban pematuhan, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Pendirian FMM bahawa GST merupakan rangka kerja cukai tidak langsung pilihan untuk jangka panjang kekal tidak berubah. Pada masa sama, FMM mengiktiraf hasrat kerajaan untuk mengekalkan SST sebagai sistem asas percukaian pada ketika ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.