Kerajaan peruntuk RM9.8 bilion perluas permohonan mikro kredit kepada penjaja kecil

Liew Chin Tong berkata kerajaan sentiasa berusaha menambah baik akses kepada kemudahan mikro kredit.

PETALING, 21 JUN – Sebanyak RM9.8 bilion dana pembiayaan diperuntukkan menerusi enam institusi mikro kredit bagi membantu memperluas akses pembiayaan kepada penjaja dan usahawan kecil di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan sentiasa berusaha menambah baik akses mikro kredit supaya lebih banyak penjaja dan peniaga kecil dapat mengembangkan perniagaan mereka.
  • Pembiayaan disalurkan melalui BSN, AIM, Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Agrobank dan MARA.
  • Program 'Mikro Kredit Turun Padang' digunakan untuk memahami keperluan penjaja dan menilai keberkesanan kemudahan pembiayaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kemudahan pembiayaan itu disediakan menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, TEKUN Nasional, Agrobank dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurut beliau, kerajaan sentiasa berusaha menambah baik akses kepada kemudahan mikro kredit bagi memastikan lebih ramai peniaga kecil mendapat peluang mengembangkan perniagaan mereka.

“Program ini telah lama dilaksanakan dan kita berharap ia dapat diperbaiki serta ditambah baik supaya lebih ramai penjaja dapat akses kepada mikro kredit.

“Saya juga berharap lawatan ini dapat memberi suntikan semangat kepada institusi-institusi yang terlibat dan kita boleh mencari jalan supaya lebih ramai penjaja mendapat akses kepada pembiayaan mikro,” katanya selepas menghadiri Program ‘Mikro Kredit Turun Padang’ siri ke-4 di Pasar Tani Dataran Puchong Permai, di sini.

Menurut beliau, program berkenaan turut menjadi platform bagi memahami keperluan sebenar penjaja dan usahawan mikro di lapangan, selain menilai keberkesanan kemudahan pembiayaan yang disediakan.

Setakat kini, seramai 12 penjaja di Pasar Tani Dataran Puchong Permai telah berjaya menerima kelulusan pembiayaan melibatkan tujuh penerima daripada AIM, tiga daripada BSN, dan dua daripada Agrobank.

Program ‘Mikro Kredit Turun Padang’ di Puchong ini merupakan lanjutan daripada siri terdahulu yang diadakan di Pasar Tani Taman Melawati, Pasar Tani Kelana Jaya, dan Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.