Co-opbank Pertama sasar keuntungan RM141 juta tahun ini

Khairil Anuar Mohammad Anuar/RTM

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Co-opbank Pertama (CBP) menyasarkan keuntungan RM141 juta bagi tahun kewangan 2026 selepas mencatat prestasi kewangan memberangsangkan pada tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • CBP mencatat keuntungan kira-kira RM131 juta bagi 2025; jumlah aset meningkat kepada RM14 bilion, naik 3.1 peratus.
  • Pertumbuhan keuntungan dijangka disumbang oleh pembiayaan runcit (60%), aset perbendaharaan (30%) dan yuran (10%).
  • Pendigitalan diteruskan: DuitNow QR dalam aplikasi HELOCBP, pengguna sekitar 80,000 dijangka 100,000; aplikasi HELOBiz diperkasa untuk korporat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata sasaran itu turut disokong jangkaan peningkatan jumlah aset kepada RM15.5 bilion meskipun berdepan persekitaran ekonomi mencabar.

Menurut beliau, CBP mencatat keuntungan kira-kira RM131 juta pada tahun kewangan 2025 dengan jumlah aset mencecah RM14 bilion, meningkat 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pertumbuhan keuntungan bagi tahun ini dijangka disumbang menerusi pembiayaan runcit, pelaburan serta aset perbendaharaan.

“Kebanyakannya akan datang daripada pembiayaan runcit dan juga pelaburan serta aset-aset perbendaharaan.

“Pembiayaan akan menyumbang sekitar 60 peratus, 30 peratus lagi daripada perbendaharaan manakala baki 10 peratus daripada yuran,” katanya selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) ke-66, hari ini.

Pada mesyuarat berkenaan, CBP turut mengemukakan cadangan pembayaran dividen sebanyak 6.5 peratus atau RM104.79 juta bagi tahun kewangan 2025.

Bagaimanapun, pembayaran dividen itu hanya akan dibuat kepada anggota selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Khairil Anuar berkata inisiatif pendigitalan terus menjadi agenda utama CBP termasuk pelaksanaan DuitNow QR menerusi aplikasi HELOCBP yang baharu bagi memperkukuh perkhidmatan perbankan digital.

Ketika ini, pengguna aplikasi berkenaan adalah sekitar 80,000 orang dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 100,000 pengguna menjelang akhir tahun.

Pada masa sama, beliau berkata aplikasi HELOBiz untuk pelanggan korporat turut diperkasa bagi menyokong transaksi lebih lancar sejajar aspirasi transformasi digital CBP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.