
SERDANG, 5 September – Agrobank memperluas akses pembiayaan kepada pengusaha stesen minyak khususnya di kawasan zon ekonomi pertanian dan luar bandar, bertujuan membantu golongan itu mengembangkan perniagaan.
- Agrobank dan BHPetrol memeterai MoU menyediakan kemudahan pembiayaan modal pusingan, penambahan modal dan sokongan untuk stesen minyak baharu.
- Kerjasama termasuk pembangunan usahawan melalui latihan pengurusan kewangan, pemasaran dan usaha mengembangkan perniagaan.
- Agrobank menyokong pendigitalan pembayaran serta operasi; BHPetrol melihat inisiatif ini sebagai CSR untuk mewujudkan peluang perniagaan komuniti luar bandar.
Usaha tersebut direalisasikan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrobank dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata akses pembiayaan yang merangkumi kemudahan pembiayaan modal pusingan dan penambahan modal itu, ditawarkan kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak (BHPetrol).
Selain itu katanya kemudahan pembiayaan khusus turut disediakan kepada mereka yang berminat untuk membuka dan mengendalikan stesen minyak baharu bawah rangkaian syarikat minyak berkenaan.
“Kita juga akan bekerjasama dengan BHP dalam memberikan pemantauan dari segi keusahawanan seperti pembangunan usahawan menerusi latihan-latihan berkaitan pengurusan kewangan, pemasaran dan usaha mengembangkan perniagaan.
“Bagi aspek pengurusan kewangan, kita akan turut memberikan sokongan dari segi pendigitalan termasuk proses pembayaran serta pendigitalan operasi perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, sokongan pembiayaan tersebut selaras dengan aspirasi Agrobank untuk memastikan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Datuk Tengku Ahmad Badli ditemui selepas mewakili Agrobank dalam Majlis Pemeteraian Kolaborasi Strategik dengan BHPetrol bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Majlis Pemeteraian itu disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali berkata kerjasama strategik bersama Agrobank sebagai peluang memperluas penglibatan komuniti luar bandar terutamanya peladang, petani dan penternak dalam sektor stesen minyak.
Pada masa sama katanya, usaha berkenaan menjadi sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat dalam membantu mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada komuniti luar bandar.
Dalam program berasingan bersempena MAHA 2026, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut hadir bagi menyampaikan Anugerah Pavilion Negeri Terbaik dengan Sarawak dinobatkan sebagai juara diikuti Perak tempat kedua, manakala Kedah tempat ketiga.