
KUALA LUMPUR, 5 September – PALMS 2030 bakal menjadi kerangka transformasi baharu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang menetapkan hala tuju lebih agresif.
- Transformasi MPOB berteraskan lima prinsip: Produktiviti, Automasi, Rendah Karbon, Kebolehpasaran dan Kemampanan dilaksanakan melalui tiga rantaian nilai teras.
- Pembukaan pejabat serantau dan sinergi penyelidikan untuk memperkukuh hubungan pasaran antarabangsa serta tangani cabaran seperti EUDR dan duti perdagangan.
- Peranan Pegawai TUNAS diperkasa sebagai agen teknologi, jurulatih produktiviti, penghubung pasaran dan agen kemampanan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.
Kesediaan itu bertujuan memperkukuh daya saing industri sawit negara serta pendigitalan proses pengurusan dan pentadbiran menjelang 2030.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd memaklumkan kerangka berkenaan bukan sekadar penjenamaan semula, sebaliknya anjakan yang mengubah pengoperasian agensi itu secara keseluruhan.
“PALMS 2030 akan berteraskan lima prinsip utama iaitu Produktiviti, Automasi, Rendah Karbon, Kebolehpasaran dan Kemampanan yang diterjemahkan melalui tiga rantaian nilai teras iaitu Mereformasi Institusi, Menerajui Industri dan Memacu Ekonomi.
“Tujuan kita jelas iaitu untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan supaya setiap usaha MPOB memberikan impak maksimum kepada
industri dan negara.
“Transformasi itu perlu bermula daripada akar umbi organisasi sebelum kita mampu membawa perubahan yang lebih besar kepada industri,”katanya menerusi kenyataan sempena Sesi Town Hall MPOB 2026.
MPOB katanya akan meneroka pembukaan Pejabat Serantau di beberapa rantau strategik bagi memperkukuh hubungan dengan pasaran, pemain industri, institusi penyelidikan dan pihak berkepentingan antarabangsa.
Menurut beliau, sinergi kekuatan penyelidikan dan kepakaran teknikal MPOB amat penting dalam memacu perkembangan pasaran antarabangsa, sekali gus membolehkan Malaysia menangani cabaran perdagangan antarabangsa dengan lebih awal dan strategik.
“Cabaran itu termasuk pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) serta isu duti anti-lambakan dan duti timbal balas di Amerika Syarikat.
“Kita mahu MPOB bukan sahaja menjadi pusat rujukan teknologi sawit, tetapi turut menjadi mata dan telinga industri di pasaran strategik dunia.
“Kita perlu memahami perubahan peraturan, kehendak pengguna dan perkembangan pasaran sebelum ia menjadi ancaman kepada industri,” tambahnya.
Sementara itu, peranan Pegawai TUNAS MPOB akan diperkasa menerusi lima identiti baharu iaitu Agen Pemindahan Teknologi, Jurulatih Produktiviti, Pemimpin
Inovasi, Penghubung Pasaran dan Agen Kemampanan.
Katanya, evolusi peranan TUNAS akan memastikan pekebun kecil bukan sekadar menerima khidmat nasihat teknikal, malah dibimbing untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos pengeluaran, mengakses pasaran dan meningkatkan pendapatan bersih.