
KUALA LUMPUR, 5 September – Aset termasuk bangunan dan kawasan lama yang mempunyai nilai sejarah, warisan serta identiti tersendiri wajar diberi nafas baharu bagi meningkatkan nilai ekonomi yang dapat memperkukuh daya tarikan pelancongan.
- Pendekatan naik taraf perlu seimbang dengan usaha mengekalkan keunikan asal aset dan kawasan.
- Pelancong kini mahukan pengalaman, cerita dan identiti unik selain penginapan, makan dan beli-belah.
- Naik taraf beri manfaat ekonomi kepada usahawan dan komuniti melalui penciptaan peluang pekerjaan.
- Chinatown 1974 sebagai mercu tanda gabungkan warisan Nanyang, seni bina dan gaya hidup retro kontemporari.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pendekatan itu bagaimanapun perlu diseimbangkan dengan usaha mengekalkan keunikan asal aset dan kawasan tersebut.
“Pelancong hari ini bukan sahaja mencari tempat untuk menginap, makan atau membeli-belah, tetapi mereka juga mencari pengalaman, cerita dan sesuatu yang mempunyai identiti tersendiri.
“Seperti kawasan-kawasan di Ipoh, Perak dan juga di Melaka, contohnya Jonker Street,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Chinatown 1974 di sini, hari ini.
Datuk Seri Johari turut memaklumkan, langkah tersebut berpotensi memberi manfaat ekonomi kepada usahawan dan komuniti setempat menerusi penyediaan peluang pekerjaan.
“Dengan adanya konsep yang sebegini, secara tidak langsung kita juga sebenarnya mempromosikan kawasan-kawasan yang mana pengusaha-pengusaha yang sangat kreatif, penggiat seni, pengusaha makanan, peruncit dan pelbagai pemain industri menjadi sebahagian daripada ekosistem pelancongan bandar yang lebih dinamik,” katanya.
Chinatown 1974 merupakan mercu tanda baharu setinggi lapan tingkat di Petaling Street yang mengetengahkan gaya hidup warisan Nanyang berkonsep retro, diinspirasikan daripada suasana era 1970-an.
Ia menggabungkan unsur seni bina serta cita rasa tempatan dengan reka bentuk, hospitaliti dan gaya hidup kontemporari bagi menawarkan pengalaman yang lebih relevan kepada generasi masa kini.