Literasi kewangan penting bantu rakyat buat keputusan pelaburan bijak

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican melawat reruai pameran selepas elancarkan Pameran InvestSmart® x Bursa Marketplace 2026./ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Peningkatan literasi kewangan perlu terus diberi perhatian bagi membantu rakyat membuat keputusan pelaburan yang lebih tepat, selain melindungi mereka daripada menjadi mangsa penipuan kewangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebolehan membezakan pelaburan sah daripada tawaran meragukan penting bagi melindungi pelabur.
  • Pendidikan dan kesedaran mengenai penipuan perlu diperkukuh susulan peningkatan kes penipuan kewangan.
  • Nilai sesuatu pelaburan berdasarkan keadaan kewangan, objektif pelaburan dan tahap risiko masing-masing.
  • Pelaburan kecil yang konsisten sejak muda membantu bina simpanan lebih besar untuk persaraan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan mencukupi untuk membezakan pelaburan yang sah dengan tawaran yang meragukan.

Menurutnya, peningkatan kes penipuan kewangan membuktikan pendidikan dan kesedaran berkaitan pelaburan perlu terus diperkukuh.

“Kerugian akibat penipuan tahun lalu mencecah RM1.47 bilion, hampir dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya,

“Kita perlu meningkatkan pendidikan dan kesedaran, dan nasihat terbaik daripada saya adalah, jika sesuatu tawaran itu terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, kemungkinan besar ia tidak benar,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian InvestSmart X Bursa Marketplace Fair 2026 di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pengetahuan kewangan yang lebih baik penting bagi membolehkan seseorang menilai sesuatu tawaran pelaburan berdasarkan keadaan kewangan, objektif pelaburan dan tahap risiko masing-masing.

Beliau turut mengingatkan bahawa penipuan kewangan bukan hanya melibatkan orang awam, malah institusi dan organisasi besar termasuk institusi kerajaan juga boleh menjadi sasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan secara konsisten dan dalam tempoh panjang boleh membantu rakyat mencapai matlamat kewangan, termasuk menyediakan simpanan untuk persaraan.

Menurutnya, pelaburan kecil secara konsisten pada usia muda mampu membantu membina simpanan lebih besar
apabila mencapai usia persaraan, bergantung kepada instrumen pelaburan dan pulangan yang diperoleh.

Beliau berkata, pasaran modal menawarkan pelbagai pilihan pelaburan , justeru orang ramai perlu memahami produk dan memilihnya mengikut kemampuan serta profil risiko masing-masing.

Katanya, pendekatan itu penting bagi membentuk budaya pelaburan bertanggungjawab serta mengelakkan rakyat daripada menjadi mangsa penipuan.

InvestSmart X Bursa Marketplace Fair 2026 berlangsung selama dua hari di Pusat Pameran Pavilion Bukit Jalil , dengan pelbagai program diadakan termasuk pendidikan pelaburan, perancangan kewangan dan kesedaran ‘scam’.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.