Ekonomi Malaysia kekal dalam trajektori pengembangan – MBSB Research

Foto janaan AI/RTM

KUALA LUMPUR, 28 September – Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam trajektori pengembangan dalam beberapa suku akan datang, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan, keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta kitaran peningkatan industri semikonduktor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aliran masuk pelaburan berterusan ke pusat data, pembuatan E&E dan industri bernilai tinggi menyokong pelaburan swasta dan aktiviti perindustrian.
  • Risiko pertumbuhan termasuk dasar perdagangan berubah, ketegangan geopolitik dan keadaan kewangan global lebih ketat yang boleh menjejaskan permintaan luaran.
  • Petunjuk awal seperti Indeks Pelopor dan Indeks Serentak menunjukkan momentum pengembangan disokong oleh import semikonduktor, KWSP dan pengeluaran perindustrian.

MBSB Research berkata aliran masuk pelaburan yang berterusan ke dalam pusat data, sektor pembuatan khususnya produk elektrik dan elektronik (E&E) serta industri bernilai tinggi lain sepatutnya menyokong pelaburan swasta dan aktiviti perindustrian.

Bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan masih wujud akibat ketidakpastian ekonomi global.

”Antara risiko yang perlu diberi perhatian ialah dasar perdagangan yang berubah-ubah, ketegangan geopolitik dan keadaan kewangan global yang lebih ketat.

”Momentum pertumbuhan boleh menjadi lebih sederhana sekiranya permintaan luaran melemah atau sentimen pelaburan terjejas susulan ketidaktentuan global yang semakin meningkat,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

MBSB Research berkata, petunjuk awal ekonomi menggambarkan momentum pengembangan masih bertahan susulan peningkatan dalam Indeks Pelopor (IP) sebanyak 1.1 peratus pada Julai 2026.

”Peningkatan disokong oleh import semikonduktor dan logam berharga yang lebih kukuh, mencerminkan kesinambungan aktiviti pelaburan dan pembuatan.

”Namun, kadar peningkatan sedikit sederhana susulan pertumbuhan pendaftaran perniagaan baharu yang lebih perlahan,” katanya.

Sementara itu, kenaikan dalam Indeks Serentak (IS), yang mengukur keadaan ekonomi semasa, sebanyak 1.7 peratus tahun ke tahun pada Julai, menunjukkan keadaan pasaran buruh kekal sihat, manakala aktiviti pembuatan terus berkembang pada bulan pertama suku ketiga 2026.

Peningkatan itu disokong sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lebih tinggi serta pengeluaran perindustrian yang lebih kukuh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.