Suasana hiba iringi penghormatan terakhir Tun Dr Siti Hasmah

Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakandanya Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berangkat ke Pusara Negara, Presint 20 bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 September – Suasana hiba dan sebak menyelubungi pekarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya, apabila orang ramai hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai hadir sejak awal memberi penghormatan; ramai kenang Tun Dr Siti Hasmah sebagai berperibadi mulia, lemah lembut, dekat di hati rakyat.
  • Pengunjung luah rasa terkejut dan sedih; dikenang kerana sifat penyayang, kesopanan serta akhlak mulia.
  • Jenazah disolatkan selepas Asar di Pusara Negara, lalu disemadikan bersebelahan pusara Tun Endon Mahmood.
  • Allahyarham meninggal di IJN pada usia 100 tahun; meninggalkan suami Tun Dr Mahathir dan tujuh anak.

Tinjauan RTM di lokasi mendapati orang ramai hadir sejak awal bagi memberi penghormatan kepada tokoh wanita berkenaan yang disifatkan sebagai seorang berperibadi mulia, lemah lembut dan sentiasa dekat di hati rakyat.

Pengunjung yang ditemui turut meluahkan rasa terkejut dan sedih atas pemergian mengejut Allahyarham yang dikenang kerana sifat penyayang, kesopanan serta akhlaknya.

Fawzia Salim berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas mengambil anaknya dari sekolah kerana kedudukan kediamannya yang berhampiran.

“Memang sangat terkejut. Memang rasa hiba dan sedih kerana beliau seorang insan yang sangat baik, berakhlak mulia, lemah lembut dan bersopan santun,” katanya.

Sementara itu, Narzalina Osman yang datang dari Rembau berkata, beliau menerima berita pemergian Allahyarham pagi tadi sebelum mengambil keputusan untuk hadir ke Putrajaya.

Mira Yaacob pula berkata, kehadirannya turut membawa amanah daripada rakan-rakannya dalam Lady Bikers Malaysia yang tidak berkesempatan hadir.

Katanya, seorang rakannya yang sering berbicara mengenai Tun Dr Siti Hasmah telah meninggal dunia tahun lalu, justeru kehadirannya kali ini dianggap sebagai menyampaikan hasrat rakan-rakannya.

“Sebagai wanita, sebagai isteri seorang pemimpin dan ibu kepada anak-anaknya, banyak yang boleh kita lihat melalui cara beliau berkomunikasi,” katanya.

Jenazah Allahyarham dijadual disolatkan selepas solat Asar di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya, sebelum disemadikan bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Allahyarham yang setia mendampingi suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanjang kehidupan dan perjalanan perjuangannya, meninggalkan tujuh orang anak.

Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada usia 100 tahun pagi tadi dengan berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.