
KUALA LUMPUR, 28 September – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan ucapan takziah bagi pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atas pemergian tokoh perubatan negara, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.
- Tun Dr Siti Hasmah dikenang sebagai perintis pembangunan kesihatan awam, terutama dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kebajikan keluarga.
- Kelembutan peribadi dan sifat keibuan beliau serta jasa bakti kepada negara akan sentiasa dikenang.
- Allahyarham meninggal dunia pada usia 100 tahun dan merupakan antara doktor wanita Melayu terawal negara.
- Pemimpin lain termasuk Menteri Digital turut menzahirkan takziah serta mendoakan kekuatan kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga.
Menerusi perkongsian di laman Instagram peribadinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly menyifatkan Allahyarham sebagai perintis pembangunan kesihatan awam di Malaysia, khususnya dalam bidang kesihatan ibu dan anak, keluarga dan kebajikan masyarakat.
“Salam takziah yang amat mendalam juga buat Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan isteri dan ibunda yang amat dicintai.
“Kelembutan peribadi, sifat keibuan, serta jasa bakti Allahyarham kepada negara pastinya akan sentiasa mekar dalam ingatan kita semua,” katanya.
Tun Dr Siti Hasmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, meninggal dunia pada usia 100 tahun.
Allahyarham merupakan antara doktor wanita Melayu terawal negara dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam sebelum aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo turut menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga susulan pemergian Tun Dr Siti Hasmah.
“Ya, saya ingin menyampaikan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga.
“Saya pernah berkesempatan bertemu dengan Tun Dr Siti Hasmah sebelum ini. Beliau merupakan seorang insan yang sememangnya banyak menyumbang kepada negara, khususnya sepanjang tempoh bertahun-tahun Tun Dr Mahathir memimpin negara ini,” katanya.
Beliau pada masa sama mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan berkenaan.