Hannah Yeoh kenang sifat penyayang Tun Dr Siti Hasmah

Tun Dr Siti Hasmah / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 September – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkongsi kenangan peribadi bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali menerusi perkongsian di laman Facebook miliknya, susulan pemergian Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN), pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dikenali menyayangi pasukan badminton negara dengan tulus, benar-benar memberi perhatian dan kasih sayang.
  • PRU 2018 membuka ruang untuk mengenali beliau lebih dekat; keanggunan tanpa riak, keyakinan dan kekuatan sederhana.
  • Tutur bahasanya lembut tetapi didengari, tangan menghulur menenangkan, meyakinkan dan buat orang berasa selesa.
  • Beliau tidak cepat menghukum, banyak bertanya lalu benar-benar mendengar; mendoakan kekuatan untuk keluarga Tun Dr Mahathir.

Menurut Hannah, sebelum mengenali Tun Dr Siti Hasmah secara peribadi, beliau mengenali Allahyarham sebagai sosok yang sering bersama pasukan badminton negara serta menyayangi mereka dengan tulus.

Malah, anggota pasukan Piala Thomas 1992 turut mengenang kasih sayang yang dicurahkan Allahyarham kepada mereka.

Beliau berkata, Pilihan Raya Umum 2018 membuka ruang untuknya mengenali Tun Dr Siti Hasmah dengan lebih dekat.

“Beliau adalah keanggunan yang tidak perlu diperagakan. Keyakinan yang tidak perlu dilaungkan. Kekuatan yang tidak perlu ditunjukkan dengan suara yang keras,” katanya.

Tambah beliau, tutur kata Allahyarham sentiasa lembut namun tetap didengari apabila berbicara.

Beliau turut menyatakan bahawa dirinya akan sentiasa mengingati Tun Dr Siti Hasmah yang sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir Mohamad, sama ada ketika ceramah, majlis mahupun di bilik mesyuarat.

Kehadiran Allahyarham bukan sekadar menemani, malah sentiasa memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir sehingga kedua-duanya mencecah usia 100 tahun.

“Yang paling saya ingat ialah kebaikan hatinya. Beliau tidak cepat menghukum. Beliau bertanya tentang diri kita kemudian benar-benar mendengar jawapannya. Dalam perbualan, tangannya sering dihulurkan, menenangkan, meyakinkan dan membuatkan kita berasa selesa walaupun berada di hadapan seorang sosok yang begitu besar kewibawaannya,” tambah Hannah.

Hannah turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan keluarga diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan tersebut.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kerana memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk merasai kemesraan serta berkongsi kegembiraan bersama Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.