Raja Permaisuri Agong prihatin isu kesihatan mental pelajar

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah/Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan terhadap isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang semakin meruncing sehingga menyebabkan berlaku kehilangan nyawa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Istana Negara adakan sesi perbincangan proaktif untuk perkukuh sistem aduan dan kaunseling.
  • Agensi termasuk Kementerian Pendidikan, KPWKM, Kementerian Komunikasi, PDRM dan MCMC terlibat dalam inisiatif sokongan.
  • Baginda titah kesihatan mental kanak-kanak dan remaja mesti diberi keutamaan dan kesedaran perlu dipertingkat.

Menurut hantaran menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesejahteraan mental dan emosi generasi muda mendorong Istana Negara mengambil langkah proaktif dengan mengadakan sesi perbincangan bagi memperkukuh sistem aduan dan kaunseling.

“Inisiatif ini untuk membantu golongan remaja yang berdepan tekanan emosi serta masalah kesihatan mental dan pelbagai cabaran hidup,” titah Baginda.

Sesi berkenaan diketuai Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dengan penglibatan beberapa agnesi kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Komunikasi; Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada penyediaan mekanisme aduan dan saluran bantuan yang mudah diakses, selamat dan berkesan, selain memperkukuh sistem sokongan kepada pelajar yang memerlukan bantuan.

“Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA International) juga terlibat menerusi kerjasama dengan KPWKM serta penglibatan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia,” menurut kenyataan sama.

Raja Permaisuri Agong bertitah, kesihatan mental kanak-kanak dan remaja perlu diberi keutamaan, manakala kesedaran mengenainya perlu dipertingkat supaya tanda-tanda tekanan emosi dapat dikenal pasti lebih awal.

“Kesihatan mental kanak-kanak dan anak remaja kita mesti diberi keutamaan. Mereka perlu tahu bahawa kita menyayangi mereka,” titah Baginda lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.