Isu Aplikasi TuJu: LLM, Prosignal perlu beri penjelasan terperinci

Gambar hiasan / RTM

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah yang dihadapi pengguna aplikasi navigasi tempatan, TuJu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjelasan perlu merangkumi punca masalah, aspek teknikal, status prestasi dan langkah penyelesaian serta penambahbaikan yang sedang atau akan dilaksanakan.
  • Penjelasan penting supaya isu pengguna ditangani menyeluruh, meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi serta memberi keyakinan kepada orang ramai.
  • Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, sama ada keluaran tempatan atau luar negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata penjelasan itu penting bagi mengenal pasti punca masalah, aspek teknikal yang terlibat serta langkah penambahbaikan yang sedang dan akan dilaksanakan.

Beliau berkata penjelasan berkenaan juga diperlukan bagi memastikan masalah yang dibangkitkan pengguna dapat ditangani secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi itu.

“Penjelasan khusus dan terperinci perlu merangkumi isu yang dibangkitkan pengguna, termasuk punca masalah, aspek teknikal yang terlibat, status prestasi semasa aplikasi serta langkah penyelesaian dan proses penambahbaikan yang sedang atau akan dilaksanakan.

“Penjelasan itu penting bagi memastikan isu yang dihadapi pengguna dapat ditangani secara menyeluruh, meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi TuJu serta memberikan keyakinan kepada orang ramai terhadap penggunaan aplikasi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan di sini, hari ini.

Fahmi berkata LLM sebelum ini mengakui terdapat masalah yang dihadapi pengguna aplikasi berkenaan dan memaklumkan bahawa usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, sama ada keluaran tempatan mahupun luar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.