
KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Monsun Timur Laut (MTL) bagi musim 2026/2027 dijangka bermula 27 Oktober ini dan berterusan hingga Mac tahun hadapan.
- Fasa awal MTL (November hingga Januari) berisiko mengalami tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan, mengancam banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
- Tiupan angin timur laut yang kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
- Fasa akhir MTL menyaksikan pengurangan hujan khususnya di utara Semenanjung dan Sabah, meningkatkan risiko cuaca panas serta gelombang haba akibat El Nino sangat kuat.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November ini hingga Januari depan dijangka menyaksikan antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan melanda negara.
“Situasi berkenaan berisiko mengakibatkan banjir di kawasan rendah serta berhampiran sungai.
“Selain itu, tiupan angin timur laut yang berterusan dan kencang juga berisiko menyebabkan laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Menjelang fasa akhir MTL dari Januari hingga Mac 2027 pula, Dr. Mohd Hisham berkata, taburan hujan dijangka berkurangan terutamanya di negeri utara Semenanjung dan Sabah.
Beliau berkata keadaan itu akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi mencetuskan gelombang haba yang lebih ekstrem berikutan pengaruh fenomena El Nino sangat kuat (Super) yang sedang berlaku.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa bersiap sedia menghadapi keadaan cuaca sepanjang tempoh MTL 2026/2027 serta peka terhadap maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia.
Maklumat rasmi boleh diakses menerusi laman web www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi atau talian hotline MetMalaysia di 1-300-22-1638.- BERNAMA