IBF : Skuad boling bawa pulang dua gangsa

Foto RTM

SEPANG, 23 Oktober – Skuad boling lelaki dan wanita negara masing-masing meraih pingat gangsa pada Kejohanan Boling Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Munich, Jerman, baru-baru ini, meskipun berdepan format pertandingan baharu dan saingan lebih sengit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad lelaki gagal mempertahankan gelaran namun berpuas hati dengan pencapaian gangsa dan anggap ia positif.
  • Skuad wanita gembira menempatkan diri dalam kelompok empat, akui format sukar namun bersyukur membawa pulang pingat.
  • Pengalaman kejohanan dijadikan persediaan penting bagi menghadapi Kejohanan Boling Asia 2026 di Qatar.

Pencapaian itu menyaksikan skuad lelaki negara gagal mempertahankan gelaran juara, namun tetap berpuas hati dengan kejayaan membawa pulang pingat menerusi kedua-dua kategori.

Kuartet lelaki negara yang dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol terpaksa akur di tempat ketiga selepas tewas kepada Australia.

Salah seorang tonggak pasukan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam berkata nasib tidak menyebelahi pasukan meskipun mempamerkan permainan menyakinkan pada aksi menentang Australia di separuh akhir.

“Tekanan itu memang dirasai sejak pusingan kelayakan lagi sehingga ke suku akhir dan separuh akhir kerana penyertaan kali ini jauh lebih banyak berbanding edisi lalu,”

“Dari segi permainan, kami telah beraksi dengan baik, cuma berdepan sedikit situasi nasib kurang menyebelahi pada detik penentuan. Itulah lumrah dalam sukan boling. Walaupun sekadar gangsa, kami tetap bersyukur dan menganggap ia satu pencapaian yang positif,” katanya ketika ditemui setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Beliau berkata pengalaman beraksi dalam kejohanan itu akan dijadikan persediaan bagi menghadapi Kejohanan Boling Asia 2026 di Qatar pada awal November ini.

Sementara itu, skuad wanita negara yang dibarisi Sin Li Jane, Natasha Roslan, Nur Hazirah Ramli dan Adelia Nur Irwan Syazalee nyata berpuas hati dengan kejayaan menempatkan diri dalam kelompok empat pasukan terbaik dunia.

Nur Hazirah berkata format pertandingan kali ini menguji ketahanan mental dan fizikal, namun pasukan bersyukur dapat membawa pulang pingat.

“Format kali ini memang sangat sukar, namun kami bersyukur kerana berjaya menjadi antara empat negara yang membawa pulang pingat. Ini adalah satu pencapaian yang cukup besar buat kami.” kata Hazirah.

Pada kejohanan berkenaan, acara berpasukan lelaki pingat dimenangi oleh oleh Perancis yang menewaskan Australia di pentas akhir.

Manakala dalam acara berpasukan wanita, Denmark muncul pemenang selepas mengetepikan cabaran Singapura.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.