
KOTA SAMARAHAN, 4 Mei – Kira-kira 300 belia tempatan bakal menerima latihan khusus dalam sektor agrikomoditi menerusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MyKomoditi 2026.
- Program menekankan pengkhususan teknikal seperti Harvesting Specialist dan Machine Specialist untuk melahirkan tenaga kerja mahir.
- Pendekatan bersepadu antara institusi latihan dan industri penting bagi pembangunan tenaga kerja kompeten dan berdaya saing.
- MoA dimeterai antara IMPAC, institusi TVET dan syarikat perladangan utama sebagai kerjasama strategik pembangunan bakat.
- Program menyediakan latihan, pendedahan industri, penempatan pekerjaan dan sijil kepada perantis yang menamatkan program.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program itu memberi penekanan kepada bidang pengkhususan teknikal seperti Harvesting Specialist dan Machine Specialist bagi melahirkan tenaga kerja mahir serta memenuhi keperluan industri semasa.
Menurut beliau, pendekatan bersepadu membabitkan institusi latihan dan pemain industri amat penting dalam usaha membangunkan tenaga kerja kompeten serta berdaya saing.
“Kolaborasi ini bukanlah sekadar persefahaman di atas kertas, sebaliknya ia adalah model kerjasama holistik,” katanya ketika merasmikan Program TVET MyKomoditi 2026 di sini hari ini.
Pada majlis sama, Memorandum Perjanjian (MoA) turut dimeterai antara Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), institusi TVET serta syarikat perladangan utama negara termasuk SD Guthrie, SALCRA Berhad dan Genting Plantations.
Kerjasama strategik itu menjadi model pembangunan bakat menyeluruh yang merangkumi latihan, pendedahan industri serta penempatan pekerjaan kepada para peserta.
Dalam pada itu, Noraini turut menyampaikan sijil kepada kumpulan perantis yang berjaya menamatkan Program Harvesting Specialist hasil kerjasama antara IMPAC, Sarawak Skills dan SD Guthrie.