
KEPONG, 4 MEI– Sejumlah RM15,000 diperuntukkan bagi membantu mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran di Taman Ehsan di sini pada 30 April lalu.
- ICU JPM umum RM5,000 untuk setiap rumah; pejabat Parlimen sumbang RM10,000 bagi setiap keluarga sebagai bantuan sementara.
- Ketiadaan insurans rumah menjadi cabaran utama, menyukarkan proses pemulihan kediaman mangsa.
- Gobind Singh akan terus datang dan membantu dari segi bina semula rumah serta mencari penyelesaian jangka panjang.
- Seorang lelaki 53 tahun ditemukan rentung; kebakaran melibatkan lima rumah, dua terbakar hampir 80%, dua lagi rosak 20%.
Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo berkata sumbangan berkenaan bagi meringankan beban mangsa sementara menunggu penyelesaian jangka masa yang panjang.
Peruntukan melibatkan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan juga peruntukan pejabat Parlimen.
“Buat masa sekarang, kita juga ada peruntukkan oleh Perdana Menteri daripada ICU. Dimaklumkan beliau akan beri sumbangan RM5,000 untuk setiap rumah. Dan ini akan diumumkan oleh pejabat ICU sebentar nanti.
“(Sementara itu) Parlimen Damansara beri RM10,000 untuk setiap keluarga untuk bantu buat masa sekarang,” katanya ketika ditemui media selepas menyantuni keluarga mangsa di lokasi kejadian kebakaran di sini pada Isnin.
Turut hadir Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (JPM) Negeri Selangor Datuk Mohd Khidir Majid.
Menurutnya, ketiadaan insurans rumah menjadi cabaran terbesar mangsa yang akan menyukarkan lagi proses pemulihan kediaman mereka.
“Selepas ini, saya akan datang lagi ke sini untuk lihat apa yang boleh dibantu misalnya bina semula rumah. Ini memang pengalaman pahit untuk mereka, kita akan bantu sejauh mana yang kita boleh,” katanya yang turut mengadakan pertemuan dengan mangsa kejadian.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, seorang mangsa lelaki berusia 53 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam sebuah bilik tidur dalam kebakaran membabitkan lima buah rumah teres.
Dua buah rumah dilaporkan terbakar sehingga 80 peratus, manakala dua buah rumah lagi mengalami kerosakan 20 peratus.