
NABATIEH, 17 Jun– Israel terus melancarkan serangan di beberapa kawasan di selatan Lubnan, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
- Usaha diplomatik dipergiat susulan memorandum AS-Iran untuk meredakan ketegangan di Asia Barat.
- Walaupun suasana lebih tenang sejak perjanjian sementara, insiden ketenteraan masih berlaku di beberapa lokasi.
- Iran tuntut penghentian permusuhan dan pengunduran tentera Israel; G7 gesa gencatan senjata elak konflik berlanjutan.
Serangan itu berlaku ketika usaha diplomatik sedang dipergiat bagi meredakan ketegangan di Asia Barat susulan memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dan Iran.
Rakaman dari bandar Nabatieh menunjukkan kepulan asap di kawasan yang menjadi sasaran.
Sejak perjanjian sementara antara Washington dan Tehran dicapai, situasi di selatan Lubnan dilaporkan lebih tenang.
Bagaimanapun, insiden ketenteraan masih berlaku di beberapa lokasi.
Israel masih menempatkan tenteranya di selatan Lubnan yang dikuasai semasa operasi ketenteraan terhadap Hezbollah sebelum ini.
Sementara itu, Iran menegaskan sebarang penyelesaian jangka panjang perlu merangkumi penghentian permusuhan di Lubnan serta pengunduran tentera Israel dari wilayah berkenaan.
Pemimpin negara G7 pada Rabu turut menggesa gencatan senjata dilaksanakan di Lubnan bagi mengelakkan konflik terus berlarutan.-REUTERS