Cuaca panas cecah 35°C: Jemaah haji diingatkan jaga kesihatan

Foto: AFP

NILAI, 4 Mei- Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya mengutamakan aspek penjagaan kesihatan susulan keadaan cuaca panas di Tanah Suci yang kini mencecah sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius dan dijangka meningkat dalam tempoh terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Patuhi nasihat doktor, pegawai kesihatan dan petugas supaya ibadah dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kesihatan.
  • Berhati-hati terutama warga emas, jangan memaksa diri dan sentiasa peka terhadap tahap kesihatan.
  • Ucapan takziah dirakamkan kepada keluarga jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata meskipun keadaan keseluruhan jemaah negara berada dalam keadaan baik, risiko kesihatan perlu diberi perhatian serius terutama dalam kalangan warga emas.

Beliau berkata jemaah perlu mematuhi nasihat doktor, pegawai kesihatan serta petugas bagi memastikan ibadah dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa menjejaskan kesihatan.

“Cuaca di Tanah Suci sekitar 34 hingga 35 darjah Celsius dan dijangka meningkat sedikit dari minggu ke minggu.

“Sehubungan itu, kita menasihati jemaah supaya mematuhi nasihat doktor, pegawai kesihatan dan petugas supaya dapat fokus melaksanakan ibadah dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Modul dan Kursus Seni Media Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau meminta jemaah agar tidak memaksa diri dan sentiasa peka terhadap tahap kesihatan masing-masing bagi mengelakkan sebarang komplikasi sepanjang berada di Tanah Suci.

Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang jemaah haji Malaysia berusia 65 tahun yang meninggal dunia di Tanah Suci pada 1 Mei lalu.