PUTRAJAYA, 15 Januari – Trafik penumpang udara mencatat peningkatan sebanyak 14.3 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, dengan jumlah keseluruhan mencapai 97.1 juta penumpang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata angka itu selaras dengan ramalan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang sebelum ini menjangkakan peningkatan antara 95.4 hingga 97.5 juta penumpang.
"Pencapaian ini mewakili 89 peratus daripada tahap pra-pandemik COVID-19 pada 2019. Bagi saya, ini adalah satu pencapaian yang memuaskan, terutama selepas kejatuhan trafik penumpang ketika pandemik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media prestasi trafik penumpang dan kargo Malaysia bagi tahun 2024, di Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), di sini.
Tambah Loke, pertumbuhan trafik penumpang banyak disumbangkan oleh penumpang antarabangsa, khususnya dari luar ASEAN, yang mencatat kenaikan 38.9 peratus.
"Penerbangan dari China dan India menjadi penyumbang utama, didorong dasar visa yang menggalakkan kedatangan penumpang dari kedua-dua negara," katanya.
Selain China dan India, kesalinghubungan ke destinasi utama seperti Indonesia, Korea Selatan, Australia, dan Negara-negara Teluk turut memberi impak positif kepada pertumbuhan trafik penumpang udara.
Pergerakan kargo udara pada 2024 turut mencatat peningkatan 8.3 peratus, mencapai 1,034.1 juta kilogram, berbanding 955.1 juta kilogram pada 2023.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengunjurkan trafik penumpang udara negara akan mencapai antara 105.8 juta hingga 112.9 juta penumpang pada tahun ini, dengan pertumbuhan yang melebihi rekod 2019.
Loke, berkata angka tersebut mencatatkan pertumbuhan antara 8.4 peratus hingga 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Harapan kita adalah untuk mencapai pertumbuhan dua digit setiap tahun, yang akan memberikan impak positif kepada syarikat penerbangan," katanya.
Tambah Loke, pertumbuhan itu dijangka didorong oleh beberapa faktor, termasuk penambahan kapasiti tempat duduk oleh syarikat penerbangan, peningkatan permintaan untuk perjalanan antarabangsa, serta peningkatan pendapatan isi rumah keseluruhan.