
Program “… & Friends” berkonsepkan persembahan mini dengan menampilkan artis berbeza di pelbagai lokasi pelancongan berlainan di Selangor pada setiap episod. / Foto RTM
SERI KEMBANGAN, 20 Jun – Tourism Selangor menyasarkan kehadiran kira-kira sembilan juta pelancong tahun ini, meningkat hampir lima peratus berbanding keseluruhan 8.45 juta pelancong yang direkodkan sepanjang 2025.
- Tourism Selangor memperkukuh promosi melalui kerjasama strategik bersama RTM menerusi penerbitan program hiburan televisyen '... & Friends'.
- '... & Friends' musim kedua menampilkan persembahan mini di pelbagai lokasi pelancongan Selangor untuk mempromosikan produk pelancongan dan agropelancongan.
- Penggambaran episod termasuk rakaman di Farm Fresh UPM dengan Amir Masdi, dan semua lapan episod akan disiarkan selepas pascapenerbitan selesai.
Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor, Nazri Tashriq Rahmat berkata usaha mencapai sasaran itu diperkukuh melalui pelbagai inisiatif promosi termasuk kerjasama strategik bersama RTM menerusi penerbitan program hiburan televisyen “… & Friends”.
Menurut beliau, program yang masuk musim kedua itu berkonsepkan persembahan mini dengan menampilkan artis berbeza di pelbagai lokasi pelancongan berlainan di Selangor pada setiap episod.
“Dengan adanya rakaman program ini di tempat pelancongan, sedikit sebanyak dapat mempromosikan produk pelancongan yang ada di Selangor,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran ‘Farm Fresh Dinner Experience’ di sini.
Serentak dengan majlis tersebut, penggambaran episod ketujuh “… & Friends” dijalankan dengan membawakan penyanyi terkenal tanah air, Amir Masdi membuat persembahan mini di kawasan sekitar ladang tenusu Farm Fresh di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini.
Penerbit Penyelaras Program “… & Friends”, Wan Badrul Hisham Wan Abdul Wahab berkata penggambaran di kawasan tersebut merupakan peluang terbaik untuk menonjolkan keunikan sektor agropelancongan di negeri itu.
“Selangor mempunyai banyak destinasi pelancongan dan lokasi menarik seperti restoran yang mungkin belum diketahui ramai.
“Melalui program ini kami mahu memperkenalkan tempat-tempat tersebut sebagai produk pelancongan negeri,” jelasnya.
Program “… & Friends” akan disiarkan selepas proses penggambaran dan pascapenerbitan kesemua lapan episodnya selesai.