TUDM terima sistem persenjataan baharu, perkukuh operasi CSAR

Foto MINDEF

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima secara rasmi sistem persenjataan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M bagi memperkukuh keupayaan operasi Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perolehan sistem persenjataan bertujuan memenuhi keperluan operasi CSAR selaras Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).
  • Sistem meningkatkan perlindungan kendiri di kawasan ancaman, sekali gus memperkasakan keselamatan anak kapal dan anggota misi menyelamat.
  • Kerajaan tandatangani LOA dengan FN Herstal untuk perolehan lima unit; FAT dijalankan bagi memastikan spesifikasi, keselamatan dan keperluan operasi.

TUDM dalam satu kenyataan memaklumkan, perolehan sistem persenjataan itu bertujuan memenuhi keperluan operasi CSAR dalam melaksanakan misi menyelamat di kawasan berisiko tinggi selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).

Menurut TUDM, sistem berkenaan turut memenuhi keperluan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, sekali gus meningkatkan keselamatan anak kapal dan anggota yang terlibat dalam misi menyelamat.

“Bagi memenuhi keperluan operasi CSAR yang memerlukan perlindungan kendiri semasa berada di kawasan ancaman, TUDM telah melaksanakan perolehan awal sistem persenjataan untuk dipasang pada helikopter EC 725 AP/H225M,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani Surat Setuju Terima (LOA) bersama syarikat pembuat senjata dari Belgium, FN HERSTAL bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm.

“Senjata ini merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia,” menurut kenyataan itu.

Sebelum penyerahan rasmi dilaksanakan, proses Ujian Penerimaan Akhir (FAT) telah dijalankan bermula 30 Mac hingga 4 Jun 2026 membabitkan No 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.

Pengujian itu bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM.

Majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan Pengarah Urusan Airbus Helicopters, Axel de Pascal kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM sempena Hari Terbuka TUDM ke-68 di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.