
BANGI, 30 September – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya menembusi kelompok 301-325 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.
- UKM menunjukkan peningkatan dalam Persekitaran Penyelidikan, Pandangan Antarabangsa dan Industri.
- Naib Canselor: penarafan membantu menilai kedudukan antarabangsa dan membuka peluang kerjasama akademik serta industri.
- UKM tekankan sumbangan akademik kepada masyarakat dan meneruskan usaha melalui kerangka strategik TEKAD57 2026 hingga 2030.
Menurut kenyataan universiti itu, ia meningkat daripada tahun sebelumnya, iaitu dari kelompok 301-350, sekali gus meletakkan UKM di kedudukan kedua terbaik Malaysia bagi Universiti Awam.
THE World University Rankings merupakan antara penarafan universiti antarabangsa yang menilai institusi berorientasikan penyelidikan berdasarkan lima bidang utama, iaitu Pengajaran, Persekitaran Penyelidikan, Kualiti Penyelidikan, Industri dan Pandangan Antarabangsa.

Bagi edisi 2027, UKM menunjukkan peningkatan dalam bidang Persekitaran Penyelidikan, Pandangan Antarabangsa dan Industri.
Sementara itu menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh, kedudukan dalam penarafan antarabangsa merupakan salah satu petunjuk yang membantu universiti melihat kedudukannya dalam landskap pendidikan tinggi global.
“Penarafan ini penting kerana ia memberi gambaran tentang kedudukan UKM di peringkat antarabangsa. Ia juga membantu kita untuk melihat pencapaian UKM berbanding universiti lain.
“Dengan pencapaian ini, kedudukan UKM di peringkat global akan lebih menyerlah sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan rakan akademik dan industri,” katanya.
Namun, tegasnya penarafan bukan satu-satunya ukuran kepada pencapaian sesebuah universiti. Justeru UKM akan tetap memberi perhatian kepada pelbagai bentuk sumbangan akademik dan kepakaran yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Katanya pencapaian tersebut adalah hasil usaha berterusan warga UKM dalam meningkatkan prestasi universiti dalam pelbagai bidang, khususnya penyelidikan, pengajaran, jaringan antarabangsa dan hubungan dengan industri.
Pencapaian itu turut seiring dengan aspirasi TEKAD57, iaitu kerangka strategik UKM bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan prestasi universiti secara menyeluruh.
“Peningkatan dalam penarafan ini dilihat sebagai satu perkembangan positif dan pada masa yang sama, sebagai ruang untuk kita melihat apa yang boleh dilakukan dengan lebih baik di masa hadapan,” katanya.