fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin dilantik Pengerusi MKI yang baharu

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah/Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Mei - Sultan Perak Sultan Nazrin Muizuddin Shah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Mac 2024 hingga 8 Mac 2026.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata pelantikan Baginda adalah untuk menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.

Beliau berkata, pelantikan Baginda diperkenan pada Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) Kali Ke-265.

“Walaupun terdapat titah gesaan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja agar baginda menyambung khidmat yang mulia dan cemerlang selama dua tahun lagi, baginda bertegas untuk mengundur diri, supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang Raja lain.

“(Sultan Selangor) menghujahkan bahawa tugas serta amanah besar itu dipertanggungkan secara bergilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing untuk menjaga dan memelihara agama Islam menurut yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menghargai kehendak dan asbab baginda untuk tidak berkenan dilantik semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 7 Mac lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan tidak berhasrat menyambung tugas sebagai Pengerusi MKI selepas tempoh perkhidmatan baginda tamat pada 9 Mac.

Susulan itu, Baginda menyerahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memilih pengerusi baharu dalam kalangan Raja Pemerintah agar kesinambungan fungsi dan aspirasi MKI akan dapat diteruskan pelaksanaannya dengan lebih baik.

Sultan Sharafuddin mula menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI pada 10 Mac 2022.

GRACE AISYAH KEDAYAN