
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Sistem kesihatan awam negara yang dibiayai menerusi hasil cukai rakyat masih relevan dan tidak memerlukan pelaksanaan Skim Insurans Kesihatan Nasional atau National Health Insurance (NHI).
- Pembiayaan datang dari Kumpulan Wang Disatukan melalui pelbagai bentuk cukai.
- Pembiayaan awam membolehkan caj rawatan rendah: RM1 pesakit luar dan RM5 perkhidmatan pakar.
- Pelaksanaan NHI berpotensi menyebabkan rakyat membuat bayaran tambahan walaupun telah menyumbang melalui cukai.
- Cadangan integrasi awam-swasta menerusi NHI mencetus persoalan mengenai penerimaan rakyat dan keadilan pembiayaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sistem sedia ada membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan pada kos yang sangat rendah kerana pembiayaannya datang daripada Kumpulan Wang Disatukan yang disumbangkan menerusi pelbagai bentuk cukai.
Menurut beliau, atas sebab itu kerajaan dapat mengekalkan caj rawatan serendah RM1 bagi pesakit luar dan RM5 bagi perkhidmatan pakar di fasiliti kesihatan awam.
“Pelaksanaan skim insurans kesihatan nasional berpotensi menyebabkan rakyat perlu membuat bayaran tambahan secara menyeluruh walaupun mereka telah menyumbang kepada sistem kesihatan melalui cukai yang dibayar kepada kerajaan.
“Cadangan seumpama itu bukan sahaja berdepan cabaran dari segi penerimaan rakyat, malah menimbulkan persoalan mengenai keadilan sistem pembiayaan kesihatan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanafi di Dewan Rakyat yang mencadangkan integrasi sektor kesihatan awam dan swasta menerusi pelaksanaan Skim Insurans Kesihatan Nasional.