
KUALA LUMPUR 23 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuh kerjasama antara klinik kesihatan kerajaan dan pengamal perubatan am (GP) swasta bagi mempertingkat pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) serta mengurangkan kesesakan di hospital.
- Pengukuhan kerjasama klinik kerajaan dan GP swasta untuk mempertingkatkan pengurusan penyakit tidak berjangkit dan mengurangkan kesesakan hospital.
- Penjagaan kesihatan primer berperanan penting dalam pencegahan dan pengesanan awal sebelum pesakit memerlukan rawatan di hospital.
- Inisiatif awam-swasta seperti PeKa B40, Saringan Kesihatan Nasional dan Skim Perubatan MADANI diperkukuh untuk akses penjagaan kesihatan berterusan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sistem penjagaan kesihatan primer berperanan penting dalam usaha mencegah serta mengesan penyakit lebih awal sebelum pesakit memerlukan rawatan di hospital.
“Kerjasama awam-swasta dalam sektor penjagaan primer bukan perkara baharu, sebaliknya telah dilaksanakan menerusi pelbagai inisiatif termasuk Program PeKa B40, Saringan Kesihatan Nasional dan Skim Perubatan MADANI.
Penglibatan lebih 10,000 klinik GP swasta bersama hampir 3,000 fasiliti kesihatan kerajaan membantu memperluas akses rakyat kepada saringan, pencegahan dan penjagaan kesihatan berterusan di peringkat komuniti,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali mengenai cadangan memperkukuh model penjagaan kesihatan primer melalui integrasi lebih rapat antara klinik kerajaan dan swasta di Dewan Rakyat.
Jelasnya, pengukuhan kerjasama antara klinik kesihatan dan GP swasta akan terus menjadi komponen penting dalam reformasi sistem kesihatan negara bagi memastikan rakyat menerima penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses, berkesan dan mampan.