Siasatan polis teliti semua aspek insiden letupan di Universiti HELP

FOTO JBPM KL


KUALA LUMPUR, 16 Januari – Polis memberi jaminan siasatan terperinci berhubung insiden letupan gas penyaman udara di kampus Universiti HELP, Bukit Damansara yang meragut satu nyawa dan mencederakan sembilan individu, Isnin lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menjalankan siasatan terperinci melibatkan beberapa aspek termasuk kemungkinan kecuaian.
  • JBPM mengesahkan letupan berpunca daripada tekanan tinggi kompressor penyaman udara.
  • Tiga mangsa masih dirawat di hospital; satu mangsa telah dibenarkan pulang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan siasatan awal melibatkan beberapa aspek termasuk kecuaian.

“Pihak PDRM dan JBPM telah sepakat untuk menyerahkan kembali bangunan yang terlibat dalam kepada pemilik setelah berpuas hati dengan aspek keselamatan.

“Pihak JBPM turut mengesahkan insiden berpunca tekanan tinggi dari kompressor penyaman udara telah menyebabkan letupan,” katanya.

Jelasnya, tiga mangsa masih menerima rawatan di hospital dan seorang lagi telah dibenarkan pulang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras dan Pengerusi PERKEP di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.