
PUTRAJAYA, 1 September – Penyertaan seorang individu dalam pertandingan ratu cantik transgender yang berlangsung di Bangkok, Thailand disifatkan bertentangan dengan ajaran Islam.
- Perbuatan menyerupai jantina berlawanan dan promosi gaya hidup transgender dianggap haram menurut hukum syarak.
- Tindakan sedemikian dikecam kerana bertentangan norma budaya tempatan serta nilai kesopanan masyarakat Malaysia.
- Penganjuran atau penyertaan tidak mendapat sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama atau kerajaan.
- Pihak berkuasa agama akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk meneliti tindakan berdasarkan undang-undang sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, tindakan tersebut sewajarnya dikecam kerana bertentangan dengan norma budaya tempatan serta nilai kesopanan dan kesusilaan masyarakat Malaysia.
Tegasnya, perbuatan menyerupai jantina yang berlawanan atau ‘tasyabbuh’, selain mempromosi gaya hidup transgender, adalah haram di sisi hukum syarak dan dilarang di bawah perundangan syariah di negeri-negeri.
“Penganjuran atau penyertaan dalam acara seumpama itu tidak pernah mendapat sokongan, kebenaran atau pengiktirafan daripada pihak berkuasa agama mahupun kerajaan.
“Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar tidak mensensasikan atau mengagung-agungkan perkara yang bercanggah dengan syariat.
“Sebaliknya, semua pihak diseru bersama-sama mempertahankan nilai moral dan akidah ummah,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Pada masa sama, pihak berkuasa agama juga akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi meneliti tindakan berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada.