fb fb fb fb fb

Sarawak ada potensi jadi kuasa ekonomi di rantau ini - PM

Anwar Ibrahim

MIRI, 28 September- Sarawak berpotensi menjadi kuasa ekonomi bagi rantau ini pada masa hadapan, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil mengatakan negara luar sentiasa menjadikan Sarawak sebagai pilihan utama bagi sumber tenaga.

"Sarawak, termasuk Miri, kini telah menjadi medan hab tenaga bagi rantau kita. Mana-mana negara yang mencari sumber tenaga, terutama tenaga hijau, hidrogen hijau, dan oksigen, akan menjadikan Sarawak sebagai pilihan utama.

"Ini menunjukkan potensi kekuatan ekonomi Sarawak yang hebat pada masa depan," katanya ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.

Anwar juga memuji Sarawak sebagai contoh kepada negeri-negeri lain dalam menarik pelaburan dari luar.

Beliau menambah bahawa kestabilan politik dan persefahaman kaum yang harmoni di negeri itu merupakan asas kepada pembangunan yang berterusan.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan kestabilan politik yang ada kini telah mengukuhkan nilai mata wang ringgit, mengurangkan pengangguran dan mengawal inflasi, membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan rakyat.

SITI AISHAH MD ISA