JOHOR BAHRU, 14 Oktober – Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan kerajaan Johor bagi memudahkan perjalanan pelancong dalam negeri sempena Tahun Melawat Johor 2026.
- Pengenalan inisiatif memudahkan perjalanan pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026.
- Peningkatan teknologi di pintu masuk negara termasuk kod QR dan pengesanan muka.
- Perkhidmatan bas percuma membantu pergerakan pelancong walau kawasan bandar pesat berkembang.
- Peningkatan infrastruktur pelancongan untuk pengalaman pelancong lebih menarik.
- Pengenalan maskot (Cuping dan Jucy) dan sasaran 12 juta pelancong pada 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu termasuk menaik taraf teknologi di pintu masuk negara menerusi penggunaan kod QR dan pengesanan muka.
Ujar beliau, pembangunan pesat di kawasan bandaraya Johor Bahru tidak akan menjejaskan pergerakan pelancong, memandangkan perkhidmatan bas percuma sedia ada dapat membawa mereka ke destinasi tumpuan.
“Pelbagai infrastruktur pelancongan telah dinaik taraf bagi memastikan pelancong yang datang ke Johor benar-benar merasakan keseronokan untuk melancong. Saya yakin Visit Johor 2026 akan menjadi satu kejayaan.”
Kerajaan negeri turut merancang pelbagai tarikan baharu bagi mencapai sasaran 12 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan maskot Tahun Melawat Johor 2026, yang menampilkan dua ekor harimau kelahiran Zoo Johor, Cuping dan Jucy sebagai simbol kempen pelancongan berkenaan.