
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Perbezaan pendirian politik tidak wajar dijadikan ukuran terhadap akidah seseorang sehingga membawa kepada tindakan melabel pihak yang tidak menyokong sesuatu kumpulan sebagai terkeluar daripada Islam.
- Perbezaan politik bukan ukuran akidah; jangan melabel pihak lain keluar Islam kerana pendirian politik berbeza.
- Politik tergolong dalam isu fiqh, bukan persoalan akidah; pemisahan perlu bagi membezakan kewajipan agama dengan pilihan politik.
- Menganggap hanya satu kelompok wakili Islam memupuk perpecahan dan ancam keharmonian masyarakat; fenomena kafir-mengkafir pernah berlaku.
Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle menegaskan, kekeliruan itu boleh berlaku apabila politik dianggap sebagai sebahagian daripada akidah, sedangkan dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah, politik merupakan perkara cabang dalam Islam.
Menurut beliau, pemahaman yang menganggap hanya kelompok tertentu mewakili politik Islam boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat, malah menjadi berbahaya sekiranya perbezaan pendirian politik disamakan dengan perbezaan akidah.
“Bila politik dianggap sebahagian daripada akidah, kita cenderung menganggap mereka yang tidak menyokong kumpulan yang membawa nama Islam sebagai terkeluar daripada Islam.
“Namun, keadaan itu hanya berlaku dalam kalangan sebahagian pihak, bukan semua,” katanya ketika menjawab soalan dalam rancangan Bicara Naratif terbitan TV1 RTM yang membincangkan topik Politik Islam Dalam Realiti Malaysia.
Mengulas lanjut, Prof Dr Muhamad Rozaimi berkata, fenomena melabel pihak yang berbeza pendirian politik bukan perkara baharu dalam perkembangan politik Islam di Malaysia, termasuk fenomena ‘kafir-mengkafir’ yang pernah berlaku sebelum ini.
Tegasnya, kefahaman yang meletakkan politik sebagai sebahagian daripada akidah perlu diperbetulkan kerana perbezaan dalam perkara politik tidak bermakna seseorang itu menolak Islam atau ajaran agama.
Beliau menjelaskan bahawa berpolitik merupakan isu fiqh dan bukannya persoalan akidah, justeru masyarakat perlu membezakan antara kewajipan agama yang jelas dengan pilihan serta perbezaan pandangan dalam politik.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa kecenderungan menganggap hanya satu kumpulan politik sebagai mewakili Islam boleh mendorong kepada sikap melihat pihak yang berbeza pendirian sebagai musuh Islam.
Keadaan itu, katanya, berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat sekiranya perbezaan politik terus dilihat sebagai pertentangan akidah, bukannya perbezaan pandangan dalam perkara cabang.