
KUCHING, 22 Jun – Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak disifatkan sebagai antara pencapaian paling signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai rakan pengasas dalam pembentukan Malaysia.
- Bukti MA63 boleh dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, menghasilkan situasi menang-menang.
- Sarawak kini memperoleh peranan lebih besar dalam pengurusan aset strategik negeri.
- Pembangunan pelabuhan manfaatkan Malaysia sebagai hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau bertaraf dunia.
- Kelulusan RUU Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) membuka lembaran baharu hubungan Persekutuan dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata langkah berkenaan membuktikan bahawa MA63 boleh dilaksanakan secara berkesan melalui semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, yang membawa kepada situasi menang-menang.
Menurut beliau, Sarawak kini memperoleh peranan lebih besar dalam pengurusan aset strategik, manakala Malaysia secara keseluruhan akan mendapat manfaat daripada pembangunan pelabuhan berkenaan sebagai hab logistik, perindustrian dan tenaga hijau bertaraf dunia.
“Ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Sarawak dalam pengurusan aset strategiknya, tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya dalam dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pindaan) 2024 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2024 oleh Dewan Rakyat pada 15 Julai 2024 telah membuka lembaran baharu dalam hubungan Persekutuan dan Sarawak.
Pelabuhan Bintulu sebelum ini dikenali sebagai hab eksport gas asli cecair (LNG) terbesar negara, kini berkembang menjadi pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang dijangka memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia serta rantau Asia Pasifik pada masa hadapan.