Sonic Hussien terus bawa nama RTM, misi cipta sejarah ABPBH

DJ Sonic Hussien

KUALA LUMPUR, 9 November – Penyampai radio NasionalFM, Sonic Hussien, 47 menyifatkan pencalonan buat kali keempat berturut-turut dalam kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38 sebagai satu penghargaan besar, hasil sokongan berterusan pendengar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alhamdulillah, sokongan pendengar dan keunikan penyampaian membantu beliau kekal relevan seiring perkembangan teknologi.
  • Pendengar sentiasa jadi keutamaan; fokus menghibur menerusi segmen 3 Suara bersama Dyya Nawai dan DJ Nazri.
  • Kumpulan peminat Sonic Rangers setia; anjurkan usaha mengundi dan cetak baju-T sebagai sokongan amat bermakna.
  • Berpegang pada misi membawa nama RTM ke pentas anugerah serta berhasrat meraih trofi untuk mencipta sejarah.

Menurut Sonic atau nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein, kepercayaan pendengar yang terus menerima kehadirannya di corong radio menjadi antara faktor utama beliau kekal relevan, selain keunikan penyampaian serta penglibatan aktif dalam bidang pengacaraan dan platform media sosial.

“Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah. Saya sendiri tidak sangka tercalon lagi kali ini kerana ia di luar jangkaan.

“Saya percaya sokongan pendengar membuatkan saya masih diterima sehingga kini. Keunikan dan usaha untuk bergerak seiring perkembangan teknologi juga mungkin antara faktor, selain aktif dalam pengacaraan luar serta media sosial,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas mengenai sokongan peminat, Sonic berkata pendengar sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap penyampaiannya, terutama bagi memastikan mereka terhibur setiap kali mendengar ke udara menerusi segmen 3 Suara di NasionalFM bersama gandingan DJ Dyya Nawai dan DJ Nazri.

Lebih menyentuh hatinya apabila sekumpulan peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai Sonic Rangers terus memberikan sokongan sejak pencalonan pertamanya, malah sanggup menganjurkan usaha mengundi dan mencetak baju-T khas bagi menyatakan sokongan.

Kesetiaan kumpulan peminat itu amat bermakna buat meskipun beliau belum berjaya membawa pulang trofi berkenaan selepas tiga pencalonan terdahulu.

DJ Sonic Hussien

Dalam pada itu, Sonic turut melihat usaha menjaga identiti dan imej sebagai penyampai RTM sebagai antara aspek penting untuk terus mengekalkan kepercayaan khalayak, termasuk ketika memenuhi undangan pengacaraan di luar organisasi.

“Saya tetap membawa nama RTM dan menjaga penggunaan bahasa serta imej apabila menerima tugasan luar. Mungkin itu yang membezakan saya dengan orang lain.

“Sokongan rakan artis dan rakan penyampai radio RTM juga banyak membantu saya, terutama sejak hari pertama tercalon,” katanya.

Mengulas sasaran pada edisi kali ini, Sonic berkata beliau masih berpegang pada misi untuk membawa nama RTM ke pentas anugerah berkenaan, selain menyimpan hasrat mencipta sejarah dengan meraih trofi Penyampai Radio Popular.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan pencalonan empat tahun berturut-turut itu sendiri sebagai satu pencapaian yang cukup bermakna, tanpa meletakkan kemenangan sebagai ukuran utama.

“Menang atau kalah, saya tetap bangga dengan pencapaian ini. Empat tahun tersenarai berturut-turut bukan sesuatu yang mudah. Alhamdulillah, tahun ini masih diberikan rezeki untuk mencuba lagi. Semuanya dengan izin Allah,” katanya.

Selain Sonic, calon lain bagi kategori Penyampai Radio Popular ABPBH 38 ialah Ag Azmeer, Ajak Shiro, Dina Nadzir, Fizi Ali, Haiza, Hefny Sahad, Issey Fazlisham, Radin dan Sharifah Shahira.

ABPBH 38 yang membawa tema ‘Kitalah Bintang’ mempertandingkan 21 kategori, dengan lima kategori yang sebelum ini diletakkan dalam kelompok sampingan dijadikan sebagai kategori utama.

Proses undian bagi pemilihan calon Top 10 setiap kategori akan berlangsung dari 16 November hingga 6 Disember ini menerusi laman web rasmi ABPBH di www.abpbh.com.my.

Malam kemuncak ABPBH 38 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember depan di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.