Impak gangguan Selat Hormuz, pengurusan haji antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Impak ekonomi terkini akibat gangguan perdagangan di Selat Hormuz dan langkah penambahbaikan sistem pengurusan haji untuk tahun depan antara dibincangkan pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Onn Abu Bakar meminta Perdana Menteri nyatakan langkah penambahbaikan pengurusan haji 2027 termasuk kos, tempoh menunggu, kebajikan dan kesihatan.
  • Wong Shu Qi kemukakan pertanyaan sama ada rang undang-undang tadbir urus AI akan atasi penyalahgunaan seperti deepfake, penyamaran identiti dan penyebaran kandungan intim tanpa persetujuan.
  • Datuk Dr Radzi Jidin meminta Menteri Pertanian jelaskan intervensi jangka pendek, sederhana dan panjang hadapi kesan krisis perang Asia Barat terhadap keterjaminan makanan.
  • Turut dijadualkan pembentangan RUU Jenayah Siber 2026 dan RUU Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam mesyuarat Parlimen.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri (GPS-Betong) bertanyakan Menteri Ekonomi pada sesi soal jawab mengenai penilaian impak ekonomi terkini akibat gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan dan kadar inflasi negara bagi suku kedua 2026.

Beliau juga ingin tahu strategi luar jangka dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk memastikan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kekal mampan sekiranya kemelesetan ekonomi global berlaku secara berpanjangan.

Selain itu, Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pula meminta Perdana Menteri menyatakan langkah penambahbaikan sistem pengurusan haji pada 2027 termasuk isu kos, tempoh menunggu dan perlindungan kebajikan serta kesihatan.

Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Digital mengenai sama ada Rang Undang-Undang (RUU)Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang digubal akan menangani secara jelas penyalahgunaan teknologi itu termasuk penghasilan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak berbentuk palsu tulen (deepfake), penyamaran identiti dan penyebaran kandungan intim tanpa persetujuan.

Sementara itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan langkah intervensi jangka pendek, sederhana serta panjang yang telah dan akan diambil kerajaan dalam mendepani kesan krisis perang di Asia Barat kepada keterjaminan makanan negara.

Turut dijadualkan dalam mesyuarat adalah pembentangan bagi RUU Jenayah Siber 2026 dan RUU (Pindaan) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 16 hari hingga 16 Julai.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.