
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Penurunan harga diesel melegakan orang ramai dan menyifatkan langkah itu dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup serta memberi kesan positif terhadap harga barangan dan perbelanjaan harian.
- Penurunan harga diesel diharapkan meringankan kos sara hidup dan menstabilkan harga barangan harian.
- Rakyat berharap subsidi dikekalkan supaya manfaat penurunan harga diesel dinikmati secara berterusan.
- Langkah ini dijangka kurangkan kos operasi peniaga serta memberi impak positif kepada pengangkutan dan logistik.
Seorang pengguna, Muhammad Rasul Jamaludin Sam, berharap penurunan harga diesel dapat diterjemahkan kepada pengurangan harga barangan makanan, sekali gus meringankan beban mereka.
“Kalau diesel boleh turun, harga barang pun harapnya dapat turun. Terutamanya makanan dan keperluan harian,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Yazid Abdul Razak berkata, penurunan harga diesel berpotensi membantu mengekalkan kestabilan harga barangan ketika pengguna berdepan peningkatan kos sara hidup.
“Baguslah! Sekarang ini banyak barang dikatakan akan naik harga, jadi apabila diesel turun, sekurang-kurangnya harga barang dapat dikekalkan dan tidak terus meningkat,” katanya.
Dalam pada itu, rata- rata rakyat berharap kerajaan dapat meneruskan dasar berkaitan subsidi bagi memastikan manfaat penurunan harga diesel dapat dinikmati secara berterusan.
Rusyaidi Safwan berharap kerajaan dapat mengekalkan subsidi serta memastikan harga diesel kekal pada kadar yang lebih rendah demi kesejahteraan rakyat.
“Harapan saya agar kerajaan dapat mengekalkan subsidi dan memastikan penurunan harga diesel ini dapat diteruskan,” katanya.
Bagi Umi Kalsom Rusli, penurunan harga diesel merupakan langkah positif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah membantu peniaga mengurangkan kos operasi.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya berasa gembira dengan penurunan harga diesel ini. Ia bukan sahaja boleh membantu pengguna, malah berpotensi mengurangkan kos operasi peniaga sekali gus memberi kesan kepada harga barangan,” katanya.
Sementara itu, Amran Biril menyifatkan langkah berkenaan sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
“Langkah ini menunjukkan kerajaan memberi perhatian kepada keperluan rakyat dan usaha seperti ini sememangnya wajar dihargai,” katanya.
Penurunan harga diesel dijangka memberi impak positif kepada pelbagai sektor ekonomi, khususnya yang bergantung kepada kos pengangkutan dan logistik, sekali gus meningkatkan harapan pengguna agar manfaat tersebut dapat diterjemahkan kepada harga barangan yang lebih stabil pada masa hadapan.