
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Peniaga disaran menilai semula harga barangan jualan susulan penurunan harga diesel bersubsidi yang akan berkuat kuasa mulai Julai 2026.
- Pemantauan KPDN mendapati harga barangan di Kuala Lumpur tidak menunjukkan peningkatan ketara walaupun harga bahan api sebelum ini tinggi.
- Penurunan harga diesel dijangka memberi kesan kecil terhadap harga kerana kenaikan sebelum ini lebih dipengaruhi faktor bekalan.
- Kenaikan harga sayur disebabkan faktor cuaca dan gangguan bekalan, bukan semata-mata kenaikan kos bahan api.
- KPDN akan terus memantau pergerakan harga dan mengingatkan peniaga mengamalkan penetapan harga yang adil berdasarkan kos operasi semasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman, berkata langkah itu wajar dipertimbangkan sekiranya kos operasi perniagaan berkurangan dan keadaan pasaran mengizinkan.
Menurut beliau, hasil pemantauan harian, mingguan dan bulanan yang dijalankan KPDN mendapati harga barangan di Kuala Lumpur tidak menunjukkan peningkatan ketara sepanjang tempoh harga bahan api berada pada paras tinggi sebelum ini.
“Penurunan harga diesel yang diumumkan baru-baru ini juga dijangka tidak memberi kesan besar terhadap harga barangan memandangkan kenaikan harga yang berlaku sebelum ini lebih banyak dipengaruhi oleh faktor bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Ihsan Food Bank di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini.
Mohd Sabri berkata, kenaikan harga sayur-sayuran yang berlaku sebelum ini berpunca daripada faktor cuaca dan gangguan bekalan dalam pasaran tempatan, bukannya semata-mata disebabkan peningkatan harga bahan api.
Katanya, KPDN akan terus memantau pergerakan harga barangan bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah.
Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga supaya mengamalkan penetapan harga yang adil dan mengambil kira perubahan kos operasi semasa dalam menentukan harga jualan kepada pengguna.