Penyatuan industri veterinar perkukuh sekuriti makanan negara

Foto RTM

PUTRAJAYA, 21 Julai – Penyatuan pemain industri veterinar disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sekuriti makanan negara serta meningkatkan kesiapsiagaan Malaysia berdepan cabaran baharu termasuk ancaman penyakit haiwan, biosekuriti dan gangguan rantaian bekalan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cabaran industri semakin kompleks; tidak boleh ditangani bersendirian, memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
  • Kerjasama membolehkan strategi praktikal dilaksanakan di lapangan untuk tingkatkan produktiviti serta daya saing penternak.
  • Program PACT wujudkan latihan, forum dan simposium; memperkukuh perkongsian ilmu, pemindahan teknologi dan kerjasama strategik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata, cabaran yang dihadapi industri ketika ini semakin kompleks dan tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian.

“Isu seperti daya tahan rantaian bekalan, kecekapan pengeluaran, biosekuriti dan penyakit berkaitan pengangkutan haiwan tidak lagi boleh ditangani secara berasingan.

“Semua pihak perlu berganding bahu bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena program yang menghimpunkan pemain industri, saintis, pembuat dasar dan pengamal veterinar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama pelbagai pihak membolehkan strategi yang dirangka bukan sekadar bersifat teori, sebaliknya boleh dilaksanakan di lapangan bagi membantu penternak meningkatkan produktiviti dan daya saing industri.

“Kita tidak lagi hanya membincangkan teori, tetapi sedang membina strategi yang praktikal dan boleh terus dimanfaatkan oleh penternak serta pemain industri,” jelasnya.

Beliau berkata, komitmen itu diterjemahkan menerusi pelaksanaan Program PACT yang merangkumi 10 latihan berasaskan lapangan, forum industri serta tiga simposium utama berkaitan kebajikan haiwan, pendidikan veterinar dan veterinar antarabangsa.

Program berkenaan menjadi platform penting untuk memperkukuh perkongsian ilmu, pemindahan teknologi serta kerjasama strategik dalam usaha membangunkan industri veterinar yang lebih mampan.

Lebih 1,000 peserta menghadiri program tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan komuniti veterinar dalam memperkukuh sektor penternakan negara serta menjamin sekuriti makanan Malaysia pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.