Penyakit akibat risiko tempat kerja dilindungi bawah Skim Bencana Pekerjaan

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menjawab soalan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Penyakit yang berpunca daripada pendedahan kepada faktor risiko tertentu di tempat kerja dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan dikategorikan sebagai Penyakit Khidmat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlindungan disediakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
  • Jemaah Doktor Khas dan Jemaah Doktor Rayuan menentukan status Penyakit Khidmat mengikut Seksyen 28 berdasarkan siasatan dan bukti pendedahan.
  • Kesihatan mental bukan berpunca pekerjaan dilindungi di bawah Skim Keilatan; Orang Berinsurans berhak Pencen Ilat dan faedah pemulihan.
  • PERKESO mengemas kini garis panduan, melatih ahli jemaah doktor, menganjur seminar, webinar dan Activ@Work Challenge untuk kesejahteraan tempat kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, perlindungan itu diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Beliau berkata, Jemaah Doktor Khas dan Jemaah Doktor Rayuan mempunyai kuasa menentukan sama ada sesuatu kes dikategorikan sebagai Penyakit Khidmat mengikut Seksyen 28 akta berkenaan.

Penentuan itu dibuat dengan syarat penyakit berkenaan dikenal pasti berpunca daripada pendedahan kepada risiko di tempat kerja serta dibuktikan menerusi siasatan dan bukti pendedahan berkaitan.

“Bagi kes kesihatan yang tidak dikategorikan sebagai Penyakit Khidmat atau tidak berpunca daripada faktor pekerjaan, seperti kemurungan dan skizofrenia, perlindungan disediakan di bawah Skim Keilatan.

“Orang Berinsurans yang layak boleh menerima faedah seperti Pencen Ilat dan faedah pemulihan,” katanya di Dewan Negara.

Jelas beliau, kerajaan sentiasa meneliti keperluan menambah baik garis panduan kesihatan secara menyeluruh selaras dengan perubahan corak pekerjaan dan peningkatan usia tenaga kerja negara.

Garis panduan berkenaan dikemas kini dari semasa ke semasa, manakala Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menganjurkan kursus tiga kali setahun bagi melatih ahli jemaah doktor, termasuk berkaitan Penyakit Khidmat dan kaedah pengurusannya.

Dalam usaha menangani tekanan pekerjaan, PERKESO turut melaksanakan Seminar Kesejahteraan Tempat Kerja secara bersemuka di setiap pejabat negeri tanpa sebarang kos kepada majikan.

Seminar itu bertujuan membantu majikan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong kesejahteraan pekerja menerusi peningkatan kesedaran mengenai kesihatan mental dan pengurusan risiko psikososial di tempat kerja.

PERKESO juga menganjurkan Siri Webinar Promosi Kesihatan Pekerja yang memberi pendedahan mengenai kesihatan mental, pengurusan stres, kesejahteraan emosi, kesihatan umum serta pencegahan penyakit tidak berjangkit.

Selain itu, Program Activ@Work Challenge 2025 dilaksanakan bagi menggalakkan majikan membudayakan aktiviti fizikal, gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental di tempat kerja.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.