Malucelli bangkit juarai Peringkat 3 LTdL 2026

Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR, 29 September – Pelumba XDS Astana, Matteo Malucelli bangkit mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menjuarai Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang berakhir di Kuala Kangsar, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Riley Pickrell selesai kedua, Sepp Van den Boer ketiga pada Peringkat 3.
  • Izzat Hilmi (MPC) tamat kelima dan dinobatkan Pelumba Asia Terbaik peringkat ini.
  • Lennart Jasch mengekalkan Jersi Jingga dengan rekod keseluruhan 12 jam 16 minit 3 saat.
  • Peringkat 4: Meru Raya ke Cameron Highlands 142.3 km, tiga zon pecutan dan pendakian kategori Hors.

Pakar pecut dari Itali itu memanfaatkan kelebihannya untuk menguasai garisan penamat dalam kelompok besar bagi perlumbaan sejauh 189.7 kilometer (km) dari Sungai Petani, dengan catatan empat jam 31 minit 59 saat.

Malucelli menewaskan Riley Pickrell daripada Modern Adventure Pro Cycling di tempat kedua, manakala Sepp Van den Boer dari Tudor Pro Cycling Team melengkapkan podium.

Kemenangan itu menyaksikan Malucelli mengukuhkan kedudukannya dalam perebutan Jersi Biru selaku Raja Pecut dengan mengumpul 32 mata, diikuti Pickrell 24 mata dan Van den Boer 14 mata.

Pelumba negara, Izzat Hilmi Abdul Halil daripada Malaysia Pro Cycling (MPC) turut mencuri tumpuan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima dengan catatan masa sama, sekali gus dinobatkan sebagai Pelumba Asia Terbaik bagi peringkat berkenaan.

Sementara itu, Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team mengekalkan penguasaan Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan dengan catatan 12 jam 16 minit tiga saat.

Dua pelumba Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone dan Jorge Castellon masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga, dengan ketinggalan 20 dan 38 saat daripada pendahulu.

Bagi Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia, Todome Yuhi daripada Aisan Racing Team mendahului dengan catatan 12 jam 21 minit tiga saat.

Kee Zhe Yie daripada Terengganu Cycling Team (TSG) berada di tempat kedua dengan 12 jam 21 minit 18 saat, manakala Tsen Ren Bao dari St George Continental Cycling di tempat ketiga dengan 12 jam 21 minit 42 saat.

Jasch turut menguasai Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit dengan 15 mata, hanya satu mata di depan pelumba TSG, Nur Aiman Zariff yang mengumpul 14 mata.

Cabaran LTdL 2026 bersambung esok menerusi Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands sejauh 142.3km.

Peringkat itu menawarkan tiga zon pecutan di Gopeng, Kampar dan Tapah sebelum pelumba diuji dengan pendakian kategori Hors di Tanah Rata.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.