
SEPANG, 29 September – Orang ramai yang bakal menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini disaran menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan bas ulang-alik berikutan kapasiti parkir di litar yang amat terhad.
- Lebih 95,000 tiket telah terjual; kira-kira 50 peratus pembeli antarabangsa, penganjur utamakan kelancaran pergerakan.
- Keselamatan penonton jadi keutamaan; cabaran utama ialah masa singkat dan penyelarasan agensi.
- Parkir dalam litar sangat terhad; semua kenderaan mesti miliki pas parkir sah dan tebus pas fizikal di Mitsui Outlet Park KLIA.
- Bas ulang-alik percuma disediakan dari empat lokasi, operasi 7 pagi hingga 12 tengah malam; bas dalaman beroperasi setiap minit.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, lebih 95,000 tiket telah terjual setakat ini dengan kira-kira 50 peratus pembeli terdiri daripada peminat antarabangsa, sekali gus menjadikan kelancaran pergerakan keluar masuk litar sebagai keutamaan penganjur.
“Bagi saya, perkara paling penting adalah keselamatan semua orang, mereka boleh datang ke SIC dengan selamat dan pulang ke rumah juga dengan selamat.
“Cabaran terbesar kami sudah pasti dari segi masa yang singkat serta penyelarasan melibatkan pelbagai peringkat orang ramai dari Bahrain dan pihak kami, termasuk mendapatkan kelulusan agensi kerajaan dan kementerian demi menjayakan acara berskala besar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan mengenai persiapan pengangkutan dan trafik menjelang perlumbaan yang dijangka menarik kehadiran hampir 100,000 penonton.
Senada dengannya, Ketua Eksekutif Litar Antarabangsa Bahrain (BIC), Sheikh Salman Isa Al Khalifa turut menggesa penonton memanfaatkan kemudahan pengangkutan awam yang disediakan.
“Kerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan serta kementerian telah digembleng bagi menyelaraskan pengangkutan dan penyuraian trafik.
“Pengangkutan awam adalah sesuatu yang amat kami syorkan. Gunakan pengangkutan awam, pelaburan besar telah disalurkan untuk kemudahan ini,” katanya.
Menurut panduan pengangkutan rasmi yang dikeluarkan bersama SIC dan BIC, kawasan parkir kenderaan di dalam litar adalah sangat terhad dan semua kenderaan diwajibkan memiliki pas parkir sah yang dibeli lebih awal menerusi laman web rasmi.
Kenderaan tanpa pas parkir tidak dibenarkan berada atau menghampiri kawasan sekitar litar.
Bagi pemegang pas parkir, penebusan pas fizikal perlu dibuat di pusat pengambilan yang ditetapkan di Mitsui Outlet Park KLIA sebelum menuju ke litar.
Bagi memudahkan pergerakan penonton, perkhidmatan bas ulang-alik percuma disediakan dari empat lokasi strategik bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang 2 hingga 4 Oktober.
Empat lokasi berkenaan ialah Mitsui Outlet Park, KLIA Terminal 2, KLIA Long-Term Car Park/Sama-Sama Hotel dan Bandar Baru Enstek (Persiaran Millenia 2), dengan kemudahan parkir turut disediakan di lokasi berkenaan.
Sebaik tiba di litar, penonton turut boleh menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik dalaman yang beroperasi tanpa henti pada sela masa satu minit sepanjang waktu operasi pintu pagar.
Perkhidmatan itu menghubungkan pelbagai pintu grandstand dan zon penonton di sekitar perimeter litar.
Bagi penonton yang memilih perkhidmatan e-panggilan seperti Grab atau teksi konvensional, penganjur turut menetapkan zon penurunan penumpang rasmi berhampiran pintu masuk utama litar di Jalan Pekeliling.
Peminat dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan papan tanda dan petugas trafik bagi memastikan kelancaran acara bersempena kembalinya perlumbaan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun.