
SHAH ALAM, 29 September – Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) buat julung-julung kalinya bakal menganjurkan Kejohanan Lawn Bowls Terbuka Malaysia – The Royal Patron 2026 Cup bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu, dari 25 hingga 31 Oktober ini.
- Seramai kira-kira 250 peserta dari 11 negara dijangka bertanding, termasuk Australia, New Zealand, India, Thailand, Singapura dan Brunei.
- Acara diiktiraf World Bowls sebagai kategori Gold memberi mata pungutan besar untuk membantu ranking dunia atlet Malaysia.
- Enam kategori dipertandingkan termasuk beregu terbuka para; penyediaan venue capai 80 peratus dan penyertaan hampir 90 peratus.
Kejohanan bertaraf antarabangsa itu dijangka bakal menghimpunkan kira-kira 250 peserta, termasuk penyertaan daripada 11 buah negara seperti Australia, New Zealand, India, Sri Lanka, Filipina, Thailand, Singapura dan Brunei.
Presiden PLBM, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, penganjuran kejohanan berkenaan merupakan platform terbaik buat atlet tempatan untuk bersaing dengan pemain-pemain terbaik dunia.
“Pendaftaran yang kita terima setakat ini melibatkan pemain seawal usia 10 tahun sehinggalah atlet veteran berumur 60 hingga 70 tahun.
“Malah, kejohanan ini mendapat pengiktirafan daripada World Bowls dan dikategorikan sebagai acara bertaraf ‘Gold’ yang menawarkan mata pungutan besar bagi membantu ranking dunia atlet kita,” katanya pada sidang media pengumuman kejohanan di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebanyak enam kategori dipertandingkan pada edisi kali ini.
Antaranya seperti perseorangan lelaki, beregu lelaki, perseorangan wanita, beregu wanita, beregu campuran serta beregu terbuka para.
Mengulas mengenai pemilihan Terengganu sebagai lokasi kejohanan, Datuk Awalan menjelaskan ia bertujuan memberi peluang penganjuran di peringkat negeri berikutan fasiliti di Bukit Kiara sedang melalui proses pengubahsuaian dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November ini.
Penambahbaikan tersebut dilakukan khusus sebagai persiapan Malaysia menjadi tuan rumah kepada kejohanan berstatus platinum, World Bowls Series Finals, yang bakal menghimpunkan 12 pemain terbaik dunia.
Ujarnya, persiapan venue di Terengganu dilaporkan berjalan lancar dan telah mencapai tahap 80 peratus.
Manakala kadar penyertaan peserta kini mencecah hampir 90 peratus.
Majlis perasmian kejohanan dijadualkan pada 27 Oktober dan akan disempurnakan oleh Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.