Sama’ Hadis Sahih At-Tirmizi sasar 10,000 peserta November ini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Julai – Sama’ Hadis Sahih At-Tirmizi berskala besar dijadual berlangsung pada November depan dengan sasaran penyertaan sehingga 10,000 peserta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program ini kesinambungan usaha memperkukuh tradisi keilmuan Islam serta mendekatkan masyarakat dengan ulama dan khazanah hadis.
  • Penganjuran masih dalam peringkat perancangan; dua lokasi dipertimbangkan berdasarkan kos dan kesesuaian, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
  • Kedatangan Sheikh Muhammad Akram An-Nadwi membolehkan peserta menerima sanad dan ijazah hadis secara langsung daripada tokoh diiktiraf antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penganjuran itu merupakan kesinambungan usaha memperkukuh tradisi keilmuan Islam serta mendekatkan masyarakat dengan ulama dan khazanah hadis.

“Program Sama’ Hadis Sahih Bukhari dan Sama’ Hadis Sahih Muslim telah dianjurkan sebelum ini. Insya-Allah, tahun ini kita akan menganjurkan Sama’ Hadis Sahih At-Tirmizi dalam skala besar.

“Kita masih dalam peringkat perancangan dan sedang mempertimbangkan dua lokasi berdasarkan kos serta kesesuaian. Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pengijazahan Hadis Al-Musalsalat yang disampaikan tokoh ulama hadis antarabangsa, Sheikh Muhammad Akram An-Nadwi, di sini.

Majlis tersebut dianjurkan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Darul Quran.

Beliau berkata, kehadiran Sheikh Muhammad Akram An-Nadwi ke Malaysia dimanfaatkan bagi membolehkan peserta menerima sanad dan ijazah hadis secara langsung daripada tokoh yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Majlis pengijazahan seumpama itu akan terus diperluas sebagai pelengkap kepada program berskala besar dalam usaha menyemarakkan budaya ilmu, mengukuhkan adab serta memberi peluang kepada masyarakat mendekati ulama dengan lebih dekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.