Pelan mitigasi banjir Petaling Jaya libatkan 39 skop kerja

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 23 Julai – Kerajaan Selangor memperkenalkan Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Langkah Sederhana di Petaling Jaya yang membabitkan 39 skop kerja dengan kos keseluruhan RM40.56 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan bertujuan mengurangkan risiko banjir kilat, meningkatkan kesiapsiagaan dan memperkukuh daya tahan kawasan terjejas.
  • Dirangka selepas lawatan dan tinjauan pada Mei untuk kenal pasti punca serta penyelesaian jangka pendek dan sederhana.
  • Sebanyak 12 hotspot dikenalpasti; tiga lokasi kritikal Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Jalan Kuala Selangor FT54.
  • Skop kerja termasuk naik taraf sungai, bina outlet baharu, selenggara saliran, bina kolam takungan dan pasang sistem amaran banjir.

Inisiatif itu bertujuan mengurangkan risiko banjir kilat, meningkatkan kesiapsiagaan serta memperkukuh daya tahan kawasan terjejas berdepan cabaran perubahan iklim.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir Izham Hashim, pelan berkenaan dirangka hasil lawatan kerja dan tinjauan menyeluruh yang dilaksanakan pada Mei lalu bagi mengenal pasti punca serta penyelesaian jangka pendek dan sederhana terhadap isu banjir kilat di Petaling Jaya.

Sebanyak 12 kawasan ‘hotspot’ dikenal pasti, dengan tiga lokasi dikategorikan sebagai kawasan kritikal iaitu Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Jalan Kuala Selangor atau FT54 yang memerlukan tindakan segera.

Beliau berkata, antara skop kerja yang akan dilaksanakan termasuk menaik taraf serta meningkatkan kapasiti sungai, membina struktur outlet baharu, menyelenggara sistem saliran sedia ada, membina kolam takungan banjir dan memasang sistem amaran banjir di lokasi berisiko.

“Untuk menambah baik lagi tempat itu, ada tiga projek. Yang pertama, kerja penyelenggaraan itu, kolam on-line dan juga membina sistem amaran di bawah JPS (Jabatan Pengairan Dan Saliran). Itu tidak banyak, RM300,000.

“Kemudian, ada kerja penyelenggaraan saliran dalaman oleh MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) berjumlah RM300,000. Jadi, ini bermakna RM600,000 ini boleh dikatakan akan siap pada hujung Januari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon.

Menurut beliau lagi, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut bersetuju melaksanakan lantikan terus bagi projek langkah segera supaya kerja-kerja berkaitan dapat dimulakan tanpa kelewatan dan disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Tambahnya, pendekatan sama yang dilaksanakan di beberapa kawasan lain di Selangor sebelum ini menunjukkan hasil positif apabila kejadian banjir semakin berkurangan.

Minggu lalu, hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan sekurang-kurangnya lapan lokasi di sekitar Petaling Jaya dilanda banjir kilat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.